TERTUDUH dibawa keluar dari mahkamah, semalam.
TERTUDUH dibawa keluar dari mahkamah, semalam.
Mohd Fauzi Abdullah


Temerloh: Remaja lelaki berusia 19 dan 15 tahun dihadapkan ke Mahkamah Majistret di sini, semalam terhadap pertuduhan membunuh seorang gadis berusia 14 tahun pada Oktober lalu.

Tertuduh, Zamirul Aliff Mohd Zaki yang juga pelajar sebuah kolej dan seorang lagi masih bersekolah didakwa membunuh Nur Amira Abdullah di ladang kelapa sawit di tepi sungai Triang Estate, Bera, antara 1.10 pagi hingga 3.30 pagi, 25 Oktober lalu.

Bagi kesalahan itu, mereka didakwa mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang jika sabit kesalahan, Zamirul Aliff boleh dikenakan hukuman mati.

Bagaimanapun, remaja lelaki berusia 15 tahun itu terlepas daripada hukuman berkenaan kerana masih di bawah umur dan dia boleh dikenakan sebatan, denda atau ditahan di sekolah khas mengikut Seksyen 91 (1) Akta Kanak-Kanak 2001.

Tiada sebarang pengakuan direkodkan daripada tertuduh terbabit yang berasal dari Bera selepas kertas pertuduhan dibacakan kepada mereka di depan Majistret, Najwa Hashim.

Berdasarkan fakta kes, mayat Nur Amira ditemui terapung di Sungai Triang, Bera, jam 3.30 petang pada 26 Oktober lalu.

Mayat mangsa yang tidak bersekolah itu ditemui dengan 45 kesan luka tikaman antaranya di dada, abdomen, belakang badan, tangan dan kaki manakala punca kematiannya disahkan akibat luka tikaman berganda dipercayai menggunakan senjata tajam.

Kedua-dua tertuduh terbabit ditahan pada 18 Disember lalu.

Pendakwaan dilakukan Timbalan Pendakwa Raya Siti Hajar Mustaffa manakala kedua-dua tertuduh tidak diwakili peguam.

Mahkamah menetapkan sebutan semula kes itu pada 24 Januari tahun depan.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 30 Disember 2017 @ 8:58 AM