Boobalan dijatuhi hukuman penjara 10 bulan oleh Mahkamah Sesyen Alor Setar. FOTO Sharul Hafiz Zam
Boobalan dijatuhi hukuman penjara 10 bulan oleh Mahkamah Sesyen Alor Setar. FOTO Sharul Hafiz Zam
Meor Riduwan Meor Ahmad


PENGUTIP tin dijatuhi hukuman penjara 10 bulan oleh Mahkamah Sesyen Alor Setar, hari ini, atas kesalahan mencederakan isterinya menggunakan penyapu di rumah mereka di Taman Sri Berlian, Mukim Kuah, Langkawi pada Oktober lalu.

Hakim Najwa Che Mat menjatuhkan hukuman itu terhadap K Boobalan, 45, selepas menerima pengakuan bersalah dan mensabitkan dengan pertuduhan.

Beliau berkata, mahkamah turut menimbangkan fakta kes, rayuan tertuduh supaya hukuman diringankan dan hujah pihak pendakwaan.

Beliau memerintahkan Boobalan menjalani hukuman penjara bermula dari tarikh ditangkap pada 2 Disember lalu.

Mengikut pertuduhan, dia dituduh dengan sengaja mencederakan isterinya, K Gouri, 42, dengan penyapu di sebuah rumah dekat Taman Sri Berlian, Mukim Kuah, Langkawi pada 6 Oktober lalu, antara 5 petang hingga 9 malam.

Dia didakwa mengikut Seksyen Seksyen 324 Kanun Keseksaan dan boleh dihukum mengikut Seksyen 326A akta sama.

Seksyen 324 Kanun Keseksaan (KK) memperuntukkan hukuman penjara sehingga 10 tahun atau denda atau sebat atau mana-mana daripada hukuman itu, jika sabit kesalahan manakala Seksyen 326A KK, hukumannya penjara sehingga dua kali ganda tempoh maksimum bagi sabitan kesalahan mengikut seksyen yang relevan.

Mengikut fakta kes, tertuduh bertengkar dengan isterinya sebelum bertindak memukul mangsa dengan penyapu menyebabkan kecederaan pada tangan.

Terdahulu, Boobalan merayu hukuman penjara yang ringan antara dua hingga tiga bulan atas alasan dia mempunyai lima anak serta hanya bekerja sebagai pencari tin.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 28 Disember 2017 @ 5:57 PM