Tiada lagi keperluan untuk mengasingkan murid bermula 2019. FOTO arkib NSTP
Tiada lagi keperluan untuk mengasingkan murid bermula 2019. FOTO arkib NSTP
Raja Noraina Raja Rahim


AMALAN pengasingan kelas mengikut tahap penguasaan akademik murid perlu dihentikan sepenuhnya bermula 2019.

Ketua Pengarah Pelajaran, Datuk Dr Amin Senin berkata, amalan itu bukan dasar pendidikan namun dilaksanakan sekolah dalam usaha meningkatkan pencapaian akademik mengikut Gred Purata Sekolah (GPS) yang menjadi petunjuk prestasi utama (KPI).

"Selaras dengan Pelaporan Pentaksiran Sekolah Rendah (PPSR) yang dilaksanakan tahun ini, pihak sekolah tidak lagi perlu mengejar GPS kerana kita mahu murid dididik secara holistik dan tidak terlalu mementingkan pencapaian akademik semata-mata.

"Tiada lagi keperluan untuk mengasingkan murid, sebaliknya menggalakkan mereka yang mempunyai tahap penguasaan akademik dan kelebihan berbeza dicampurkan supaya dapat saling membantu.

"Ada sekolah masih mengamalkan pengasingan kelas kerana menjadi kebiasaan. Dengan pelaksanaan PPSR, kita berharap amalan ini dihentikan menjelang sesi persekolahan 2019," katanya pada sidang media di Institut Aminuddin Baki, Bandar Enstek, Nilai, hari ini.

Selain itu, Dr Amin berharap amalan Jabatan Pendidikan Negeri mewujudkan sekolah kawalan iaitu memilih pelajar berdasarkan pencapaian sukan, akademik dan disiplin dihentikan kerana tidak selaras dengan dasar pendidikan negara.

Beliau berkata, pihaknya tidak menggalakkan amalan itu yang menyusahkan pelajar kerana ada pelajar terpaksa ke sekolah jauh kerana tidak diterima di sekolah terletak berhampiran kawasan perumahan mereka.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 26 Disember 2017 @ 4:17 PM