Caption<MURID Tahun Enam ketika menjawab peperiksaan UPSR di Sekolah Kebangsaan Sultan Sulaiman 2, baru-baru ini. Foto Arkib GHAZALI KORI
Caption<MURID Tahun Enam ketika menjawab peperiksaan UPSR di Sekolah Kebangsaan Sultan Sulaiman 2, baru-baru ini. Foto Arkib GHAZALI KORI
Siti A’isyah Sukaimi


KELEWATAN pengeluaran keputusan Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (USPR) 2018 disebabkan peperiksaan itu dilaksanakan lewat hampir dua minggu berbanding pada tahun lalu.

Kementerian Pendidikan dalam satu kenyataan berkata, pihaknya mengambil maklum mengenai kerisauan dibangkitkan ibu bapa iaitu keputusan UPSR dikeluarkan semasa cuti persekolahan.

Katanya, pengumuman keputusan UPSR 2018 lewat diadakan kerana beberapa cuti umum pada awal dan pertengahan September lalu membabitkan Hari Kebangsaan (31 Ogos), Hari Keputeraan Yang di-Pertuan Agong (9 dan 10 September), Awal Muharam (11 September) dan Hari Malaysia (16 dan 17 September).

“Kelewatan pelaksanaan peperiksaan kali ini menyebabkan kelewatan pemeriksaan skrip jawapan peperiksaan.

“Lembaga Peperiksaan juga perlu mematuhi prosedur penjaminan kualiti yang ditetapkan bagi memastikan ketepatan keputusan yang akan dikeluarkan,” kata kenyataan itu, semalam.

Selasa lalu, Ketua Pengarah Pelajaran, Datuk Dr Amin Senin menerusi kenyataannya berkata, Pelaporan Pentaksiran Sekolah Rendah (PPSR) termasuk UPSR 2018 bagi murid tahun enam akan diumumkan pada 29 November ini.

Beliau dipetik berkata, calon terbabit boleh mengambil keputusan mereka di sekolah masing-masing bermula 10 pagi atau menggunakan perkhidmatan semakan keputusan UPSR 2018 melalui mySMS 15888.

Dalam pada itu, Kementerian Pendidikan memaklumkan Lembaga Peperiksaan sebelum ini juga pernah mengeluarkan keputusan UPSR semasa cuti persekolahan.

Justeru, murid Tahun Enam boleh hadir mendapatkan PPSR dan keputusan UPSR pada 29 November bermula jam 10 pagi di sekolah masing-masing.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 22 November 2018 @ 3:27 PM