Skim Harga Maksimum Musim Perayaan (SHMMP). FOTO Bernama
Skim Harga Maksimum Musim Perayaan (SHMMP). FOTO Bernama
Rafidah Mat Ruzki


Putrajaya: Sebanyak 19 jenis barangan disenaraikan dalam pelaksanaan Skim Harga Maksimum Musim Perayaan (SHMMP) Krismas 2020 berkuat kuasa 22 hingga 31 Disember ini.

Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi berkata, antaranya adalah ayam, telur ayam, sayuran, daging kambing dan daging babi.

Beliau berkata, SHMMP Krismas adalah langkah menyekat kenaikan harga barangan keperluan menjelang perayaan Krismas pada 25 Disember ini di seluruh negara.

"Selain itu, pelaksanaan SHMMP Krismas 2020 secara tidak langsung dapat menyekat kenaikan harga yang tidak munasabah semasa pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

"Walaupun perayaan Krismas 2020 disambut secara sederhana mengikut prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan oleh kerajaan, permintaan terhadap barangan untuk perayaan itu tetap ada dan dijangka meningkat berbanding hari biasa.

"Tempoh kuat kuasa bagi SHMMP Krismas 2020 adalah selama 10 hari iaitu selama tiga hari sebelum perayaan, pada hari perayaan dan enam hari selepas hari perayaan," katanya ketika mengumumkan penentuan harga maksimum barangan harga terkawal SHMMP Krismas 2020, secara maya, hari ini.

Turut disenaraikan ubi kentang import (China), lobak merah, kubis bulat import (Indonesia dan China, tidak termasuk kubis Beijing), tomato dan lada Benggala hijau.

Alexander berkata, pelaksanaan skim itu tertakluk mengikut peruntukan Akta Kawalan Harga dan Antipencatutan 2011.

"Penentuan harga barangan bagi negeri-negeri dibuat mengikut kesesuaian harga pasaran semasa dan mengambil kira faktor perubahan harga, khususnya bagi barangan import yang dipengaruhi harga di negara asal, perubahan kadar tukaran mata wang dan peningkatan kos utiliti penternak.

"Sekiranya peniaga dengan sengaja menaikkan harga tanpa alasan-alasan yang munasabah, dengan niat untuk membuat keuntungan tinggi yang berlebihan, Kementerian boleh bertindak mengikut Akta Kawalan Harga dan Antipencatutan 2011 melalui Peraturan-Peraturan Kawalan Harga dan Antipencatutan (Mekanisme Untuk Menentukan Keuntungan Tinggi Yang Tidak Munasabah) 2018.

"Selain itu, notis mengikut Seksyen 21 Akta turut dikeluarkan dan dikuatkuasakan dengan tegas terhadap mana-mana pihak yang didapati menaikkan harga secara mendadak bagi mendapatkan penjelasan," katanya.

Pada masa sama, Alexander berkata, tindakan tegas akan diambil terhadap peniaga yang gagal mematuhi peraturan-peraturan bawah skim itu.

Peniaga yang melakukan kesalahan itu boleh dikenakan tindakan mengikut Akta Kawalan Harga dan Antipencatutan 2011 dan boleh dikenakan penalti yang ditetapkan.

Individu yang menjual barangan harga terkawal melebihi harga maksimum boleh didenda oleh mahkamah sehingga RM100,000 atau dipenjarakan tidak melebihi tiga tahun atau kedua-duanya atau dikompaun sehingga RM50,000; manakala syarikat boleh didenda sehingga RM500,000 atau dikompaun sehingga RM250,000.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 18 Disember 2020 @ 3:41 PM