GAMBAR hiasan
GAMBAR hiasan
Mohd Hafizee Mohd Arop


LELAKI warga emas maut selepas dibelasah menggunakan penyapu dan payung oleh adik iparnya di rumah mereka di Jalan Mengelembu Timur 4, Ipoh, hari ini, hanya disebabkan suspek berang apabila mangsa mengejutkannya dari tidur dan menghalaunya.

Polis menerima maklumat kejadian pada 2.15 pagi selepas suspek berusia 69 tahun hadir sendiri ke Balai Polis Mengelembu dan memaklumkan kononnya berlaku pergaduhan sehingga menyebabkan dia dan cucunya cedera dipukul.

Hasil soal siasat dijalankan terhadap suspek, akhirnya polis dibawa ke lokasi kejadian sebelum menemui mayat, L Tirumal, 62, dalam keadaan terbaring dengan kesan pukulan di beberapa bahagian badan.

Ketua Polis Daerah Ipoh, Asisten Komisioner Mohd Ali Tamby, berkata siasatan awal polis mendapati terdapat kesan pukulan di bahagian belakang atas punggung sehingga ke belakang badan mangsa dipercayai menggunakan penyapu dan payung.

Katanya, turut ditemui kesan kecederaan di bahagian muka, pipi kanan dan kiri serta kelopak mata kiri dipercayai dipukul menggunakan payung sehingga menyebabkan mangsa terjatuh.

“Suspek yang juga adik ipar mangsa sering berselisih faham selepas tinggal bersama mangsa sebulan lalu dan punca kejadian disebabkan mangsa mengejutkan suspek dari tidur sebelum menghalaunya keluar rumah.

“Polis merampas beberapa barangan antaranya satu payung, penyapu, pemegang payung, batang kayu penyapu dan turut mengambil kesan darah bagi membolehkan siasatan lanjut dijalankan.

“Setakat ini, tiada saksi kejadian serta rakaman CCTV (kamera litar tertutup) dan mayat mangsa dibawa ke Jabatan Forensik HRPB (Hospital Raja Permaisuri Bainun) untuk bedah siasat,” katanya.

Mohd Ali berkata, semakan rekod jenayah lampau mendapati suspek mempunyai satu rekod jenayah sudah dihukum membabitkan Seksyen 411 Kanun Keseksaan kerana memiliki barang curi manakala mangsa mempunyai enam rekod membabitkan kes jenayah dan dadah.

Beliau berkata, semakan dengan Hospital Bahagia Ulu Kinta, Tanjung Rambutan mendapati suspek pernah menerima rawatan di hospital itu sekitar 1990-an dan polis sedang mendapatkan surat pengesahan mengenai perkara itu.

Menurutnya, kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 19 September 2018 @ 2:14 PM