KETUM ayam dan ketum adalah dua tumbuhan berbeza. FOTO arkib NSTP
KETUM ayam dan ketum adalah dua tumbuhan berbeza. FOTO arkib NSTP
BERNAMA

Bagan Serai: Polis Perak berharap orang ramai tidak akan mengambil kesempatan daripada galakan kerajaan negeri berhubung penanaman ketum ayam dengan menanam pokok ketum.

Ketua Polis Perak Datuk Mior Faridalathrash Wahid berkata, ketum ayam dan ketum adalah dua tumbuhan berbeza sekalipun mempunyai fizikal hampir sama.

"Nama ketum ayam ini dipanggil kerana rupa fizikal daun pokok ini menyerupai daun pokok ketum dan diguna pakai sebagai sumber alternatif pemakanan haiwan ternakan seperti ayam.

"Ketum pula adalah sejenis tumbuhan yang boleh menyebabkan ketagihan kepada manusia dan dilarang penggunaannya di negara ini," katanya pada sidang media selepas lawatan ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kerian, di sini hari ini.

Beliau berkata, memetik, memiliki sehelai daun ketum dan menyimpannya adakah satu kesalahan mengikut Akta Racun.

Semalam, Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Luar Bandar, Pembangunan Usahawan dan Koperasi Perak Datuk Zainol Fadzi Paharuddin dilapor menggalakkan penduduk kampung menanam pokok ketum ayam yang daunnya dikatakan sesuai sebagai makanan ternakan, sekali gus dapat mengurangkan kos makanan untuk ternakan.

Carian Internet mendapati ketum ayam atau nama saintifiknya Trichanthera gigantea berasal dari Amerika Selatan sementara ketum yang nama saintifiknya Mitragyna speciosa adalah tanaman asal di Asia Tenggara.

Sementara itu dalam ucapannya, Mior Faridalathrash berkata, polis berjaya mengutip RM14.7 juta bayaran kompaun menerusi Kempen Diskaun Saman yang bermula dari 15 hingga 31 Mac lalu.

Angka itu meliputi 124,342 saman atas pelbagai kesalahan, katanya.


Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 2 April 2021 @ 7:03 PM