Petani melihat pokok ketum yang ditanam di Nonthaburi, Thailand. - FOTO AFP
Petani melihat pokok ketum yang ditanam di Nonthaburi, Thailand. - FOTO AFP
AFP

Bangkok: Thailand kini membenarkan pengambilan ketum, sejenis daun tropikal yang digunakan dalam rawatan herba.

Penggunaan daun berkenaan berdepan kritikan pihak berkuasa kesihatan seleuruh dunia yang menganggapnya sebagai tidak selamat.

Ketum atau nama saintifiknya mitragyna speciosa adalah sebahagian daripada keluarga kopi, digunakan di Asia Tenggara dan Papua New Guinea untuk melegakan kesakitan dan kesan rangsangan ringan.

Ia meningkat popular di Amerika Syarikat (AS) di mana Pihak Pentadbiran Ubat dan Makanan (FDA) memberi amaran terhadap penggunaannya, dengan risiko ketagihan dan penyalahgunaan.

Perubahan undang-undang di Thailand ini membawa makna 'orang awam boleh mengambil dan menjual ketum secara sah', kata jurucakap kerajaan, Anucha Burapachaisri dalam kenyataan.

Kajian oleh Institut Penyelidikan Pembangunan Thailand mendapati bahawa kebenaran ini akan menjimatkan kos pendakwaan mencecah 1.69 bilion baht.

Ketum dipercayai merangsang reseptor otak sama seperti morfin, namun dengan kesan lebih ringan.

Di Thailand, ia digunakan secara meluas di bahagian selatan di mana pekerja menggunakannya sebagai ubat menghilangkan kesakitan akibat kerja berat.

Ia tidak diwartakan sebagai larangan antarabangsa walaupun Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) pada bulan lalu menyatakan untuk menilai sama ada penggunaan ketum perlu dikawal.

Phil Robertson dari Human Rights Watch berkata, kebenaran ketum dilihat sesuatu yang dinanti-nantikan sejak sekian lama.

"Kebenaran ini mengakhiri penyalahgunaan hak terhadap warisan dadah yang telah lama digunakan dalam masyarakat tradisional dan luar bandar di negara ini," katanya.

Soontorn Rakrong, penasihat dalam jawatankuasa yang membenarkan penggunaan ketum ini berkata, petani di selatan Thailand boleh beralih kepada penanaman ketum selepas berdepan kerugian akibat kejatuhan harga getah.

Di Indonesia, penggunaan ketum adalah dibenarkan namun, masih dalam penilaian dengan beberapa ahli politik mendesak ia diharamkan.

Pada 2019, Thailand menjadi negara pertama di Asia Tenggara membenarkan penggunaan ganja bagi tujuan perubatan di mana kerajaan melabur dalam usaha pengekstrakan dan pemasaran minyak kanabis bagi kegunaan industri kesihatan.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 24 Ogos 2021 @ 6:11 PM