Syed Zahiruddin dan isteri (tengah) bergambar bersama lima pengantin anggota TLDM dan pasangan mereka pada Majlis Bina Mahligai Bahagia Armada Timur 2017 di Masjid Ibnu Battuta Pangkalan TLDM Kota Kinabalu, Teluk Sepanggar. FOTO LANO LAN
Syed Zahiruddin dan isteri (tengah) bergambar bersama lima pengantin anggota TLDM dan pasangan mereka pada Majlis Bina Mahligai Bahagia Armada Timur 2017 di Masjid Ibnu Battuta Pangkalan TLDM Kota Kinabalu, Teluk Sepanggar. FOTO LANO LAN
Amniera Naziera Amran


Lima anggota Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) dan pasangan diraikan serentak dalam Majlis Perkahwinan Beramai-ramai di Masjid Ibnu Battuta, Pangkalan TLDM Kota Kinabalu, hari ini.

Majlis anjuran Markas Pemerintahan Armada Timur menerusi Badan Hal Ehwal Agama Islam Kawasan (BHEAIK) Kota Kinabalu.

Panglima Armada Timur, Laksamana Madya Datuk Syed Zahiruddin Putra Syed Osman berkata, program terbabit bertujuan membantu pasangan menjimatkan kos dalam mengadakan kenduri kahwin.

"Setiap pasangan hanya dikenakan bayaran RM250. Majlis pernikahan dan persandingan pula dilaksanakan secara bergotong-royong oleh warga TLDM," katanya ketika ditemui media.

Pada majlis bermula jam 9 pagi itu, pasangan berkenaan dinikahkan oleh bekas Imam Besar Masjid Negeri Kota Kinabalu, Datuk Mokhtar Rapok.

Pasangan turut diarak dengan menaiki kereta 'buggy'

berhias hasil sentuhan dan kreativiti warga TLDM.

Mereka turut diraikan dengan persembahan silat dan acara memotong kek perkahwinan.

Sementara itu, salah seorang pengantin yang diraikan dalam majlis kahwin beramai- ramai itu, Laskar Kelas 1 Jalaluddin Mamat, 29 yang berasal dari Pasir Mas, Kelantan berkata, pada awalnya, dia bercadang untuk bernikah dengan pasangannya, Hanisha Lahanong, 23, pada 22 Disember.

Bagaimanapun, dia yang berkhidmat di Pasukan Provos Tentera Laut (Protela) di Markas Pemerintahan Kapal Selam di Pangkalan TLDM Kota Kinabalu berkata, dia mempercepatkannya pada hari ini untuk sama-sama menyertai program berkenaan.

"Saya dan isteri sudah lebih lima tahun berkenalan selepas kami kali pertama diperkenalkan rakan di majlis rumah terbuka Aidilfitri di Lahad Datu.

"Tak sangka, perkenalan itu membawa kami ke jenjang pelamin pada hari ini.

"Impian untuk memperisterikan anak jati Sabah akhirnya tercapai," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 16 Disember 2017 @ 9:59 PM