QOBIN  bersama penyokongnya sebelum berlepas ke Kutub Selatan untuk misi penjelajahan ke  titik kosong darjah di KLIA, semalam.
QOBIN bersama penyokongnya sebelum berlepas ke Kutub Selatan untuk misi penjelajahan ke titik kosong darjah di KLIA, semalam.
Nursyahirah Marzuki


Sepang: Suhu sejuk melampau dan keadaan sentiasa berangin antara cabaran yang bakal ditempuhi penjelajah negara, Muhammad Muqharabbin Mokhtarrudin dalam menamatkan misi penjelajahan ke titik kosong darjah di Kutub Selatan untuk bergelar Penjelajah Grand Slam.

Muhammad Muqharabbin atau Qobin, 36, berkata, cuaca yang sukar diramal bakal menjadi cabaran utama dalam misi anjuran Kelab Eksplorasi 7 Benua Malaysia (KE7B) dinamakan Ekspedisi KE7B Penjelajah Grand Slam Malaysia 2017 itu.

Malah, katanya, beliau terpaksa berski sejauh 25 kilometer (km) sehari bagi menamatkan penjelajahan berkenaan.

“Kelajuan angin antara 20 hingga 30 kilometer sejam (km/jam) sudah boleh menjejaskan penjelajahan, malah sekiranya cuaca buruk melanda misi terpaksa ditangguh kira-kira seminggu atau lebih.

“Bagaimanapun, saya berharap seluruh rakyat Malaysia mendoakan kejayaan saya dalam menamatkan misi penjelajahan ini sekali gus menyumbang jasa kepada negara,” katanya ketika ditemui di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) di sini, semalam.

Muhammad Muqharabbin merangkap Presiden Kelab Eksplorasi 7 Benua (KE7B) berkata, beliau berlepas ke Perancis semalam dan transit di negara itu sebelum ke Punta Arenas, Chile bagi menjayakan misi berkenaan.

“Tiada apa yang saya harapkan, cuma doa dan sokongan daripada seluruh rakyat Malaysia supaya misi ini dapat ditamatkan dengan berbekalkan latihan sebelum ini.

“Sekiranya berjaya, saya akan menjadi rakyat Malaysia pertama, warga Asia Tenggara kedua dan umat Islam ketiga selain 70 individu terawal menamatkan misi yang diiktiraf badan eksplorasi sebagai Penjelajah Grand Slam,” katanya.

Menurutnya, ekspedisi sebenar akan bermula pada 19 Disember ini dan dijangka berakhir pada 27 Disember yang mengambil masa sembilan hari.

“Saya akan berlepas dari Union Glacier, Antartika dengan menaiki helikopter menuju ke titik satu darjah bagi memulakan ekspedisi berski ke titik kosong darjah Kutub Selatan sejauh 120 km,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 15 Disember 2017 @ 3:52 AM