Pengarah JKDM Kelantan Datuk Mohd Nasir Yusoff (kanan sekali) melihat lapisan papan lapis yang ditebuk di tengahnya untuk dijadikan tempat penyimpanan rokok seludup. FOTO Zaman Huri Isa.
Pengarah JKDM Kelantan Datuk Mohd Nasir Yusoff (kanan sekali) melihat lapisan papan lapis yang ditebuk di tengahnya untuk dijadikan tempat penyimpanan rokok seludup. FOTO Zaman Huri Isa.
Nor Fazlina Abdul Rahim


JABATAN Kastam Diraja Malaysia (JKDM) Kelantan menumpaskan kegiatan sindiket penyeludupan rokok hasil serbuan di Kampung Telaga Ara, Bachok, 8.20 malam tadi.

Hasil serbuan, JKDM merampas 5,700 karton rokok yang disembunyikan di bahagian tengah lapisan papan lapis yang ditebuk.

Rokok terbabit diseludup dari Thailand untuk pasaran Lembah Klang.

Pengarah JKDM Kelantan Datuk Mohd Nasir Yusoff berkata, pihaknya turut menahan tiga lelaki termasuk dua tempatan berusia 30 hingga 50 tahun.

“Kami melakukan risikan serta intipan terhadap kegiatan sindiket ini sejak berbulan lalu.

“Taktik digunakan sindiket iaitu menyembunyikan rokok di tengah lapisan papan lapis ditebuk membolehkan ia lepas daripada pemerhatian namun ia tidak kekal apabila taktik terbabit dapat dikesan,” katanya pada sidang media di pejabat JKDM Kota Bharu, hari ini.

Menurut beliau, tiga suspek terbabit adalah orang tengah kepada sindiket yang berpangkalan di luar Kelantan.

Mohd Nasir berkata, soal siasat terhadap suspek mendapati, ia kali ketiga mereka menyeludup rokok itu dengan dua daripadanya lolos di pasaran.

“Rokok dirampas itu bernilai RM728,460 manakala lori pula RM100,000.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 135(e) Akta Kastam 1967,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 14 Disember 2017 @ 1:29 PM