MOHAMED Zulmazi menyampaikan sumbangan banjir kepada anggota polis yang terjejas banjir baru-baru ini. FOTO Faris Zainuldin
MOHAMED Zulmazi menyampaikan sumbangan banjir kepada anggota polis yang terjejas banjir baru-baru ini. FOTO Faris Zainuldin
Mohamad Zulhairie Manzaidi


POLIS Tumpat menerima 15 laporan membabitkan kerosakan harta benda daripada mangsa banjir untuk tuntutan ganti rugi dari syarikat insuran.

Pemangku Ketua Polis Daerah Tumpat, Superintendan Mohamed Zulmazi Daud berkata, laporan itu dibuat mangsa di Balai Polis Kuala Jambu di sini sejak dua hari lalu.

Katanya, dalam kejadian banjir lalu, peralatan elektrik dan perabot mereka rosak selepas rumah dinaiki air.

"Bagaimanapun, pihak kami tidak menerima laporan berkaitan dengan kejadian pecah rumah sepanjang kejadian banjir baru-baru ini.

"Kami menjalankan rondaan cegah jenayah selama 24 jam yang dipecahkan kepada dua pasukan untuk mengelakkan jenayah pecah rumah," katanya ketika selepas menyerahkan bantuan banjir kepada pegawai dan anggota yang terjejas di Dewan Temenggung Ibu Pejabat Polis Daerah Tumpat di sini, hari ini.

Dalam majlis itu seramai 30 pegawai dan anggota polis di daerah ini yang terjejas akibat banjir menerima sumbangan daripada Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) yang disampaikan Mohamed Zulmazi.

Menurutnya, sumbangan ini sebagai penghargaan kepada mereka yang terus menjalankan tugas menyelamat biarpun keluarga turut terjejas dengan banjir.

"Mereka yang bertugas di Balai Polis Pengkalan Kubor, Simpangan, Kuala Jambu dan Tumpat turut terjejas dengan banjir sebelum dipindahkan ke pusat pemindahan sementara (PPS) berhampiran.

"Selepas pastikan keluarga mereka selamat di PPS, anggota dan pegawai terbabit meneruskan tugas menyelamat mangsa banjir yang lain," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 10 Disember 2017 @ 3:12 PM