NOOR Aiza
NOOR Aiza
Mohd Nasif BadruddinFairul Asmaini Mohd PilusSuraya Roslan dan Yusmizal Dolah Aling dan Muhammad Saufi Hassan

Kuala Lumpur: Puteri UMNO mengesyorkan kerajaan mempertimbangkan untuk menghentikan pemberian subsidi kepada warga asing yang membeli barangan kawalan di Malaysia.

Wakil Puteri UMNO Noor Aiza Hassan berkata, lambakan warga asing di Malaysia hingga mencecah 6.7 juta menyebabkan kerugian kepada kerajaan yang berterusan menanggung mereka seperti barangan beras, gula, minyak dan petrol.

“Jika barangan keperluan ini dijual mengikut harga pasaran semasa, sekurang-kurangnya dapat memberi hasil kepada kerajaan. Cukup-cukuplah menanggung subsidi kepada warga asing sejak dulu.

“Puteri mengesyorkan kerajaan mewujudkan satu mekanisme untuk memastikan barangan bersubsidi dinikmati rakyat Malaysia tidak lagi tercicir dan tiris kepada warga asing,” katanya yang mewakili Puteri ketika berucap membahaskan usul ucapan dasar presiden pada Perhimpunan Agung UMNO 2017 di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC), di sini, semalam.

Noor Aiza turut mencuit perhatian perwakilan dengan gurauannya yang mengakui masih single dan available bersama Pengerusi Tetap Tan Sri Badruddin Amiruldin menyebabkan Dewan Merdeka gamat dengan tawa.

Noor Aiza berkata, cermin dan wajah asli negara hampir tenggelam apabila perkhidmatan barisan hadapan industri perhotelan dan pemakanan dipenuhi buruh asing.

“Kita nak cakap dengan depa (mereka) kena bahasa Inggeris di negara sendiri, depa nak cakap bahasa Melayu pun tidak reti,” katanya.

Dalam pada itu, dia yang juga Ketua Pergerakan Puteri Bayan Baru turut menyarankan hotel yang tidak membenarkan pekerja Islam memakai tudung tidak diberikan lesen untuk beroperasi.

“Saya puji saranan Menteri Besar Negeri Sembilan (Datuk Seri Mohamad Hasan) yang bertindak tegas tidak memberikan lesen kepada hotel melarang pekerjanya memakai tudung.

“Saya sarankan negeri lain di bawah pemerintahan Barisan Nasional melakukan perkara sama (tidak beri lesen),” katanya.

Menurutnya, perkara itu tidak boleh kompromi jika tidak agama Islam ditindas.

“Kita jangan bagi muka kat depa kalau muka kita dipijak, Puteri UMNO tidak akan berkompromi sekiranya agama Islam ditindas mengenai pemakaian tudung,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 9 Disember 2017 @ 1:41 AM