Sebahagian orang ramai yang menyerbu Pasar Percuma Kembali Ke Sekolah yang diadakan di Dewan Jubli Intan, Kluang, hari ini. FOTO Adnan Ibrahim
Sebahagian orang ramai yang menyerbu Pasar Percuma Kembali Ke Sekolah yang diadakan di Dewan Jubli Intan, Kluang, hari ini. FOTO Adnan Ibrahim
Adnan Ibrahim


KIRA-KIRA 5,000 orang dari sekitar Kluang dan kawasan berhampiran menyerbu Pasar Percuma Kembali ke Sekolah anjuran Persatuan Bekas Pelajar Sekolah Menengah Sains Kota Tinggi (PBPSSKT) di Dewan Jubli Intan, Kluang, Johor bermula 8 pagi tadi.

Penyelaras program Aznah Arshad berkata, program kali pertama itu bertujuan memberi peluang kepada masyarakat di sini, menyediakan kelengkapan asas persekolahan anak-anak mereka secara percuma tanpa sebarang bayaran.

Beliau berkata, penganjuran melalui sumbangan orang perseorangan selain barangan terpakai yang dikumpul hasil kerjasama Pejabat Pendidikan Daerah Kluang itu adalah Khidmat Komuniti Masyarakat (CSR) persatuan itu.

“Saya terkejut dengan sambutan orang ramai terhadap penganjuran pasar percuma ini kerana pada asalnya hanya disasarkan untuk orang Kluang.

“Apa yang dapat diberikan melalui pasar ini adalah barang disumbangkan mereka yang prihatin dengan keperluan masyarakat,” katanya ketika ditemui sebelum pengagihan barang dimulakan pagi tadi.

Aznah berharap orang ramai yang mendapat barang persekolahan untuk anak-anak mereka berpuas hati walaupun tidak mencukupi untuk diagihkan kepada semua yang hadir.

“Ini pengalaman pertama kami dan akan berusaha menambah baik sekiranya penganjuran sama dilakukan pada masa akan datang.

“Orang ramai yang tidak berpeluang mendapatkan barang keperluan persekolahan anak mereka, kami mohon maaf kerana kami melakukan sekadar yang termampu,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 8 Disember 2017 @ 10:33 AM