Md Norhalim (kiri) menyerahkan sumbangan kepada penerima bantuan pakaian kelengkapan persekolahan di Kluang. FOTO Adnan Ibrahim
Md Norhalim (kiri) menyerahkan sumbangan kepada penerima bantuan pakaian kelengkapan persekolahan di Kluang. FOTO Adnan Ibrahim
Adnan Ibrahim


“DENGAN bantuan barangan persekolahan tiga anak ini, saya dapat jimat RM450,” kata Lely Suarni Mohd Mutiar, 39, selepas menerima bantuan beg, pakaian, kasut serta tudung sekolah untuk tiga anaknya berusia 10, 11, dan 16 tahun sumbangan Pertubuhan Kluang Prihatin (PKP), Kluang hari ini.

Ibu tunggal lima anak itu berkata, bantuan yang diterima itu membolehkannya menggunakan wang lebihan untuk membayar yuran persekolahan tiga anaknya.

Katanya, dia berniaga sarapan dengan pendapatan kira-kira RM400 sebulan dan wang itulah digunakan untuk menyara keluarga.

“Saya bersyukur kerana anak kedua yang baru menamatkan persekolahan ada membantu dengan gajinya sebagai pekerja sambilan di kedai makan.

“Kini saya perlu menyediakan RM450 untuk melengkapkan persiapan persekolahan anak merangkumi pembelian buku tulis, buku kerja dan lain-lain keperluan,” katanya ditemui pada majlis penyampaian sumbangan peralatan persekolahan kepada 150 anak-anak asnaf oleh PKP di Kluang hari ini.

Lely Suarni berkata, walaupun hanya sepasang pakaian baru seorang ia sudah memadai kerana pakaian sekolah sedia ada masih dalam keadaan baik untuk digunakan secara bergilir-gilir dengan pakaian baharu.

Sementara itu, Timbalan Pengerusi PKP, Md Norhalim Md Amin berkata, semua sumbangan itu adalah hasil keprihatinan ahli pertubuhan, orang perseorangan serta syarikat persendirian.

Katanya, usaha digerakkan sejak awal tahun dan hasilnya, mereka berjaya membantu 150 orang tahun ini.

“Melihat sambutan penderma, kami berharap dapat membantu lebih ramai pelajar atau murid memerlukan di Kluang pada masa akan datang,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 26 Disember 2019 @ 5:51 PM