PENGERUSI Persatuan Pemandu Teksi Dan Kereta Sewa Kluang, Mustakim Jalel ketika ditemui di Hentian Teksi Kluang. FOTO Adnan Ibrahim
PENGERUSI Persatuan Pemandu Teksi Dan Kereta Sewa Kluang, Mustakim Jalel ketika ditemui di Hentian Teksi Kluang. FOTO Adnan Ibrahim
Adnan Ibrahim


Kluang: Kira-kira 200 pemandu teksi daripada Persatuan Pemandu Teksi Dan Kereta Sewa Daerah Kluang berterima kasih kepada kerajaan negeri yang memberikan bayaran sekali bayar (one-off) RM500 kepada mereka.

Pengerusinya, Mustakim Jalel berkata, pemberian itu jelas menggambarkan keprihatinan kerajaan negeri terhadap kepayahan dihadapi pemandu teksi.

"Walaupun ia hanya inisiatif sekali bayar namun cukup besar bagi kami yang selama ini amat terkesan akibat Covid-19.

"Bayaran ini sekurang-kurangnya membantu kami membuat persiapan menghadapi sesi persekolahan anak-anak pada tahun hadapan selain bayaran pemeriksaan di Pusat Pemeriksaan Berkomputer (Puspakom) yang perlu dilakukan setiap tahun," katanya ditemui di Hentian Teksi Kluang dekat sini, hari ini.

Sementara itu, peniaga Pasar Awam Kluang, Abdul Hamid Dahlan, 60, yang turut menerima bantuan berkenaan mengatakan akan menggunakan wang itu dengan sebaiknya.

"Ia akan saya gunakan untuk membiayai keperluan keluarga memandangkan hasil pendapatan hasil jualan juga berkurangan.

"Alhamdulillah, kerajaan negeri cukup prihatin dengan nasib rakyat yang terjejas.

"Kami harap, pendekatan ini akan merancakkan lagi ekonomi melalui kedatangan orang ramai untuk berbelanja di pasar," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 27 November 2020 @ 1:40 PM