KANAK-KANAK dibawa menaiki lori pada Program Berkhatan Perdana Parlimen Sepang di IKTBN, Sepang.
KANAK-KANAK dibawa menaiki lori pada Program Berkhatan Perdana Parlimen Sepang di IKTBN, Sepang.
Nursyahirah Marzuki

Sepang: Seramai 203 kanak-kanak diarak dengan menaiki empat lori dan direndam di dalam dua kolam bagi menghilangkan perasaan takut ketika berkhatan pada Majlis Berkhatan Perdana di sini, semalam.

Malah, mereka turut diarak dengan paluan kompang selain disembur air menggunakan paip bomba bagi memeriahkan lagi suasana pada majlis berkenaan.

Ketua Pemuda UMNO Sepang Noorazli Said berkata, program julung kali diadakan itu adalah satu daripada aktiviti tanggungjawab sosial korporat (CSR) pihaknya dalam membantu masyarakat melaksanakan ibadah yang dituntut dalam Islam.

“Program kali ini berjalan dengan lancar dan difahamkan ada dalam kalangan peserta yang tiba seawal jam 7 pagi dengan ditemani ibu bapa masing-masing.

“Mereka juga kelihatan teruja dan tidak sabar untuk menempuh pengalaman baru memasuki alam dewasa,” katanya ketika ditemui selepas Majlis Berkhatan Perdana di sini, semalam.

Hadir sama, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Dengkil Shahrum Mohd Sharif, Ketua UMNO Bahagian Sepang Datuk Marsum Paing, Ketua MCA Bahagian Sepang Datuk Ng Chok Sin dan Pengarah Program Azwan Muhamad.

Majlis Berkhatan Perdana itu dianjurkan Pemuda UMNO Sepang dengan kerjasama UMNO Selangor dan Bahagian Sepang.

NOORAZLI (kiri) membantu ibu bapa mententeramkan kanak-kanak yang dikhatankan.
NOORAZLI (kiri) membantu ibu bapa mententeramkan kanak-kanak yang dikhatankan.

Dalam pada itu, Noorazli berkata, penyertaan kali ini sangat menggalakkan sehingga pihaknya terpaksa mengehadkan jumlah peserta bagi memberi keselesaan kepada mereka serta kakitangan perubatan yang menjalankan tugas.

“Peserta hanya dikenakan bayaran RM9.90 untuk menyertai aktiviti berkhatan ini manakala selebihnya ditanggung Pemuda UMNO Sepang dan Selangor.

“Bayaran yang dikenakan amat berpatutan dan boleh dikatakan murah. Ini adalah usaha kami untuk membantu meringankan perbelanjaan ibu bapa terutama yang berpendapatan rendah,” katanya.

Beliau berkata, perkhidmatan berkhatan itu dilaksanakan kakitangan Kementerian Kesihatan dengan dibantu beberapa ahli Pemuda UMNO Sepang.

“Program kemasyarakatan ini akan diteruskan pada masa akan datang namun kita berharap supaya lebih banyak lagi badan bukan kerajaan (NGO) turut sama membantu dan terbabit dalam penganjuran aktiviti seperti ini,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 2 Disember 2017 @ 7:57 AM