Mangsa maut di lokasi kejadian. FOTO ihsan #OTRJohorCrew
Mangsa maut di lokasi kejadian. FOTO ihsan #OTRJohorCrew
Mohd Sabran Md Sani


DUA kakitangan Pelabuhan Tanjung Pelepas (PTP) di Gelang Patah maut selepas motosikal ditunggang mereka bertembung di Kilometer (KM) 14.3 Lebuhraya Linkedua arah Utara (arah Senai), Johor pagi hari ini.

Timbalan Ketua Polis Daerah Iskandar Puteri Deputi Superintendan M Kumaresan berkata, dalam kejadian 7.50 pagi itu, Muhammad Nazri Abdullah, 23, dan Mohammad Hisham Mohd Kassan, 29, maut di tempat kejadian akibat kecederaan parah.

Beliau berkata, kemalangan dipercayai berlaku apabila Yamaha 125 ditunggang Muhammad Nazri melawan arus.

"Mangsa yang beralamat di Kampung Rahmat, Rantau Panjang, Kelantan dipercayai melawan arus dari arah Senai ke Gelang Patah bertembung dengan Honda ditunggang Mohammad Hisham dari arah bertentangan.

"Akibat kemalangan itu, kedua-dua mangsa mengalami kecederaan teruk di kepala dan disahkan maut di lokasi kemalangan," katanya.

Mayat dihantar ke Hospital Kulai untuk bedah siasat.

"Keadaan kedua-dua motosikal itu teruk pada bahagian belakang," katanya.

Kumaresan berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 3 Disember 2017 @ 3:03 PM