PENGEBUMIAN Pengasas dan Pengerusi pertama Kelab Veteran UMNO, Allahyarham Tan Sri Tajudin Ali, di Tanah Perkuburan Islam Kampung Sungai Ara, Pantai Besar, Batu Kurau, Taiping. FOTO Noor Raudah Awang
PENGEBUMIAN Pengasas dan Pengerusi pertama Kelab Veteran UMNO, Allahyarham Tan Sri Tajudin Ali, di Tanah Perkuburan Islam Kampung Sungai Ara, Pantai Besar, Batu Kurau, Taiping. FOTO Noor Raudah Awang
Noor Raidah Awang


PENGASAS dan Pengerusi pertama Kelab Veteran UMNO, Tan Sri Tajudin Ali meninggal dunia pada usia 95 tahun di kediamannya di Hala Gopeng off Jalan Sultan Azlan Shah, Ipoh, hari ini.

Jenazah Allahyarham selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Sungai Ara, Pantai Besar, Batu Kurau, bersebelahan kubur kedua ibu bapanya selepas solat Asar, hari ini.

Allahyarham adalah bekas Ahli Parlimen Larut selama tiga penggal bermula 1959.

Arwah pernah menjadi Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Batu Kurau pada 1974 dan dilantik sebagai EXCO Perak.

Anaknya, Amirudin, 53, berkata ayahnya dimasukkan ke Hospital Pakar KPJ Ipoh, sejak dua minggu lalu.

Katanya, arwah ayahnya dipercayai ada terkena jangkitan paru-paru dan dibawa balik ke rumahnya dua hari lalu, sebelum meninggal dunia, 11.30 pagi Sabtu.

“Sebelum arwah meninggal, ayah selalu cakap dan sangat berharap supaya orang Melayu kembali bersatu dan tidak berpecah belah.

“Ayah pejuang parti kental dan sangat sayangkan parti. Malah, ayah selalu berbincang mengenai hal ehwal politik semasa bersama kami.

“Semalam, Menteri Besar, Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir sempat datang ke rumah menziarahi ayah.

“Tapi, Allah SWT lebih sayangkannnya,” katanya yang ditemui di Tanah Perkuburan Islam Kampung Sungai Ara, Taiping.

Allahyarham mendapat pendidikan awal di SMK King Edward VII Taiping.

Arwah juga berkongsi minat bermain hoki bersama bekas Perdana Menteri, Allahyarham Tun Abdul Razak yang ketika itu mewakili kolej MCKK.

Allahyarham meninggalkan balu, Puan Sri Putri Sharifah Megat Abd Rahman yang kini turut terlantar sakit di kediamannya dan sembilan anak.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 2 Disember 2017 @ 8:00 PM