PERTANDINGAN wau kapal menjadi salah satu acara menarik PPBL yang mendapat sambutan ramai.
PERTANDINGAN wau kapal menjadi salah satu acara menarik PPBL yang mendapat sambutan ramai.
Samadi Ahmad


PESTA Pantai Bagan Lalang (PPBL), Sepang, Selangor baru-baru ini menampilkan kelainan yang bukan sekadar aktiviti hiburan semata-mata, malah dipenuhi dengan pelbagai aktiviti bercirikan tradisional dan patriotik.

Menurut Yang Di Pertua (YDP) Sepang, Datuk Abd Hamid Hussain, program itu antara acara tahunan Majlis Perbandaran Sepang (MPSepang).

Katanya, keindahan pantai dilengkapi hotel ternama dan kebersihan pantai ini akan terus menjadi teras kekuatan bagi menarik kedatangan orang ramai untuk bercuti, sekali gus hadir memeriahkan acara itu.

"Kehadiran pengunjung pelbagai kaum menunjukkan keharmonian di samping dapat mengimbau kembali nostalgia ketika di desa," katanya.

Abd Hamid berkata, bagi sambutan tahun ini, MPSepang mengadakan larian dan aktiviti berbasikal yang disertai kira-kira 500 peserta pelbagai kategori usia.

Menurutnya, sebagai usaha menerapkan semangat patriotik dalam kalangan remaja, MPSepang turut mengadakan pertandingan pakaian beragam.

Katanya, penganjuran kali ini juga unik kerana penganjur turut menyediakan aktiviti permainan tradisional seperti boling kelapa, gusti tangan, pertandingan menaikkan wau kapal, sepak raga bulatan, membina istana pasir, pertunjukan silat, tarian dan lari dalam guni.

BOLING kelapa gamit nostalgia pengunjung ketika zaman tinggal di kampung.
BOLING kelapa gamit nostalgia pengunjung ketika zaman tinggal di kampung.

"Selain aktiviti tradisional, sekitar lokasi sambutan juga dimeriahkan dengan pelbagai aktiviti seperti 'battle of the band', aktiviti kanak-kanak seperti mewarna, gerai jualan, pameran dan makanan.

"Setiap pantai perlu mempunyai acara tersendiri bagi menambah daya tarikan kepada pengunjung. Antara keistimewaan pantai ini ialah pengunjung boleh berjalan kira-kira 300 hingga 400 meter ke tengah laut ketika air surut.

"Pantai ini juga antara lubuk bagi penggemar makanan laut kerana ada banyak restoran ikan bakar yang menyajikan makanan laut segar di sekitar kawasan pantai," katanya.

SEPAK raga bulatan antara aktiviti masyarakat kampung yang diketengahkan dalam PPBL.
SEPAK raga bulatan antara aktiviti masyarakat kampung yang diketengahkan dalam PPBL.

Abd Hamid menambah, aktiviti ini sebenarnya salah satu penambahan daya tarikan kepada pantai peranginan yang menjadi nadi kekuatan daerah Sepang.

Pada masa sama, pengunjung juga boleh merasai pengalaman menyusuri Sungai Sepang dengan menaiki bot di Jeti Sirip Biru berdekatan pantai ini sambil menyaksikan keindahan paya bakau di sepanjang sungai berkenaan.

"Bagi pengunjung luar, sebelum pulang pastikan tidak melepaskan peluang singgah di ladang buah naga yang menjadi salah satu ikon daerah Sepang.

BINA istana pasir cungkil kreativiti peserta PPBL.
BINA istana pasir cungkil kreativiti peserta PPBL.

"Bukan sekadar beli buah itu untuk dijadikan sebagai buah tangan, tapi anda jangan lepaskan peluang merasai pelbagai produk yang dihasilkan dari buah berkenaan seperti ais krim, roti, air minuman dan nasi lemak," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 4 January 2024 @ 6:16 AM