M Chandra
M Chandra
HM Digital

Kota Kinabalu: Kecekapan polis menjalankan siasatan berhubung kes samun pusat karaoke di sebuah pusat beli-belah, di sini, Ahad lalu, berjaya diselesaikan dalam tempoh kurang 48 jam.

Kedua-dua penjenayah berusia 20 tahun yang mengaku terbabit dalam kes berkenaan ditahan di rumah masing-masing di Taman Rosejaya, Kinarut, Papar, dalam dua serbuan berasingan, awal pagi semalam.

Dalam kejadian jam 1.40 pagi Ahad lalu, seorang pekerja perempuan berusia 18 tahun di pusat hiburan berkenaan disamun seorang suspek lelaki menggunakan parang yang diletakkan di belakang mangsa.

Suspek mengarahkan mangsa mendiamkan diri sebelum memintanya menyerahkan wang tunai hasil perniagaan pusat karaoke berkenaan.

Mangsa yang ketakutan segera membawanya ke tempat juruwang dan suspek mengambil RM4,356.70 yang disimpan di dalam mesin tunai sebelum melarikan diri.

Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu Asisten Komisioner M Chandra berkata, sebaik menerima laporan, satu pasukan khas ditubuhkan untuk menjalankan siasatan dan memburu suspek.

Katanya, berdasarkan risikan dan maklumat, polis menahan dua lelaki dan merampas kereta Perodua Kancil, parang, wang tunai, telefon pintar, jam tangan serta beberapa barangan berharga.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 1 Disember 2017 @ 7:14 AM