PENERIMA  anugerah pada majlis Hari Inovasi KKLW 2017 di Kementerian Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah (KKLW), Putrajaya.
PENERIMA anugerah pada majlis Hari Inovasi KKLW 2017 di Kementerian Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah (KKLW), Putrajaya.
Mohd Husni Mohd Noor


Putrajaya: Membina jenama bukan mudah namun seorang anak muda akui usaha penat lelah itu berbaloi apabila jenama produk salai miliknya, Sabak Salai mula mendapat tempat di pasaran sejak setahun lalu.

Pengurus Taqdir Enteprise Mohammad Taqdir Sajin, 28, berkata, dia mengambil masa tiga tahun membina jenama dan melakukan penyelidikan dan pembangunan (R&D) bagi produk salai keluarannya sebelum meneroka pasaran lebih besar.

Beliau berkata, selepas tiga tahun berniaga kecil-kecilan di hadapan rumah di Kampung Kundur Hulu, Pedas, Negeri Sembilan kini Sabak Salai mula menjengah restoran dan pasaran runcit di Johor, Melaka dan Lembah Klang.

“Lebih menggembirakan usaha saya selama ini mendapat pengiktirafan Kementerian Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah (KKLW) apabila menerima geran Cabaran Perniagaan Luar Bandar (RBC) Jaya 2016 bagi kategori Pengembangan Perniagaan RM750,000 sekali gus membantu mengembangkan perniagaan sedia ada.

“Geran itu dalam bentuk naik taraf premis dan penyediaan mesin pemprosesan selain digunakan sebagai modal pusingan,” katanya ketika ditemui pada Majlis Hari Inovasi KKLW 2017 di sini, semalam.

Katanya, dia yakin proses tambah baik operasi perniagaan itu meningkatkan kapasiti pengeluaran produk salainya daripada satu juta tan kepada tujuh juta tan sebulan.

Antara rangkaian produk Sabak Salai termasuk Ayam Sabak, Daging Sabak, Sembilang Sabak, Itik Sabak dan Puyuh Sabak.

Sementara itu, Pengarah Urusan Al-Jazeera Ice Cream Sdn Bhd Nabila Suhairy berkata, selepas mengusahakan produk ais krim tanpa jenama khusus sejak 2012, dia kini mampu berbangga apabila jenama ais krimnya, Hadji Ice Cream mendapat tempat di pasaran.

Menurutnya, dia mula membina jenama ais krimnya sejak tahun lalu sebagai persediaan memasuki pasaran lebih besar dan ternyata usaha itu berhasil apabila jenamanya mula dikenali ramai biarpun bersaing dengan banyak jenama lain.

“Syarikat saya menerima geran Cabaran Perniagaan Luar Bandar (RBC) Harapan 2016 sebanyak RM200,000. Saya merancang menggunakan geran itu bagi membekalkan peti sejuk beku berisi ais krim Hadji Ice Cream yang dijangka memberi peluang perniagaan kepada 150 usahawan,” katanya.

Menurutnya, buat masa ini, syarikatnya mengeluarkan enam perisa ais krim iaitu butterscotch, double chocolate, raspberry ripple dan pistachio selain dua perisa tempatan iaitu durian king dan coconut royale.

Nabila berkata, dia menjangkakan kapasiti pengeluaran ais krimnya mencecah 72,000 liter sebulan pada masa depan berbanding 36,000 liter buat masa ini berdasarkan sambutan tinggi daripada pelanggan dan pasaran runcit.

Terdahulu, Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah Datuk Seri Ismail Sabri Yaacob dalam ucapannya berkata, sambutan Hari Inovasi peringkat kementerian diharap dapat membudayakan kreativiti dan inovasi dalam kalangan warganya selaras Agenda 4 Transformasi Negara.

Menurutnya, penghasilan inovasi secara berterusan dan berimpak tinggi dapat meningkatkan kecekapan sesuatu proses atau penyampaian perkhidmatan sekali gus membantu menyediakan negara ke arah negara maju.

Pada majlis sama, Ismail turut menyampaikan enam Anugerah Kualiti dan Inovasi KKLW 2017 kepada agensi kementerian yang bertanding.

Anugerah Kualti Kecekapan Tadbir Urus dimenangi oleh RISDA, Anugerah Kualiti Pengurusan Perolehan (KEMAS), Anugerah Kualiti Pengurusan Keselamatan Perlindungan (KKLW), Anugerah Kualiti Penilaian Outcome Terbaik (MARA - Sistem Pembayaran Kontrak Ekspress), Anugerah Kualiti Inovasi Perkhidmatan Awam (MARA) dan Anugerah Kualiti Inovasi Perkhidmatan Awam (RISDA-QLulut).

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 1 Disember 2017 @ 6:04 AM