RAHMAH menyiram air mawar ke pusara Mohd Daut yang meninggal dunia akibat serangan jantung di Tanah Perkuburan Islam Masjid Hashim Yahya, Jalan Perak, Georgetown.
RAHMAH menyiram air mawar ke pusara Mohd Daut yang meninggal dunia akibat serangan jantung di Tanah Perkuburan Islam Masjid Hashim Yahya, Jalan Perak, Georgetown.
Rudy Syareme Sheriffudin

Georgetown: Bekas wartawan sambilan Harian Metro, Mohd Daut Noor Mohamed, 61, meninggal dunia akibat serangan jantung ketika dalam perjalanan ke Hospital Seberang Jaya, Bukit Mertajam, dekat sini, kelmarin.

Balu Mohd Daut, Rahmah Din, 60-an berkata, arwah disahkan menghidap penyakit jantung sejak tiga tahun lalu dan banyak menghabiskan masa bersama isteri dan cucu di rumah.

Menurutnya, sebelum pemergian arwah ini ada mengalami sakit dada dan sukar untuk tidur selain mengurut dada namun tidak memberitahu kepadanya.

Katanya, pada hari kejadian, arwah memandu kereta untuk pergi memeriksa tiket penerbangan kerana arwah dijadualkan berada di Bangkok, Thailand untuk menghadiri seminar penulisan.

“Ketika memandu, dia dipercayai mengalami serangan jantung sebelum kereta dipandu terbabas lalu melanggar tembok batu dan tidak sedarkan diri.

“Arwah kemudian dibawa ke Hospital Seberang Jaya (HSJ) sebelum disahkan meninggal dunia ketika dalam perjalanan pada jam 2 petang,” katanya ketika ditemui di Masjid Alimsah Waley, Lebuh Chulia di sini, semalam.

Rahmah berkata, pemergian arwah satu kehilangan besar buat mereka sekeluarga kerana arwah seorang suami dan ayah yang cukup penyayang.

Menurutnya, sepanjang 43 tahun berumah tangga dia cukup mesra bersama dua anaknya serta lima cucu selain turut meminta agar disemadikan bersebelahan pusara ibunya di Tanah Perkuburan Islam Masjid Hashim Yahya, Jalan Perak.

Katanya, pesanan akhir arwah mereka tunaikan selain berdoa agar arwah ditempatkan dalam golongan orang yang beriman dan bertakwa.

“Kami reda dengan pemergian arwah selain berterima kasih kepada semua pihak yang menghulurkan bantuan menguruskan jenazah arwah dari awal hingga akhir,” katanya.

Arwah Mohd Daut memulakan tugas sebagai wartawan sambilan Harian Metro Pulau Pinang dari tahun 1995 hingga 1999 namun minat dalam bidang penulisan tidak pernah pudar.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 25 November 2017 @ 9:29 AM