LELAKI berusia 30-an (mencangkung) menunjukkan tempat air ketum yang ditanam di beberapa kawasan termasuk di kawasan kebun getah di hadapan rumahnya untuk dijual kepada penagih tegar. FOTO Ihsan AADK
LELAKI berusia 30-an (mencangkung) menunjukkan tempat air ketum yang ditanam di beberapa kawasan termasuk di kawasan kebun getah di hadapan rumahnya untuk dijual kepada penagih tegar. FOTO Ihsan AADK
Dziyaul Afnan Abdul Rahman


TINDAKAN lelaki berusia 30-an menjual air ketum untuk menyara ibunya dan membeli dadah, mengundang padah apabila dia ditahan bersama tujuh lelaki dalam Op Bersepadu oleh Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) Perlis, semalam.

Pengarah AADK Perlis, Azizah Ahmad berkata, operasi itu dijalankan di kawasan Beseri, Padang Besar, Kampung Hutan Lembah, Felda Chuping dan Mata Ayer dengan kerjasama Agensi Kawalan Sempadan Malaysia (AKSEM) bermula 8 pagi hingga 12 tengah malam.

Menurutnya, dalam operasi itu, lapan lelaki ditahan berusia 17 hingga 50 tahun termasuk lelaki yang menjual air ketum terbabit.

"Lelaki yang menjual air ketum itu berasal dari Felda Chuping dan belum berkahwin, menyimpan sebanyak 280 bungkus air ketum bersama empat botol besar air ketum di dalam peti simpanan ais sebelum ditanam di kawasan kebun getah di hadapan rumahnya.

"Dia hanya akan mengambil bekalan air ketum itu sekiranya pelanggannya ingin membeli namun tindakannya terbongkar selepas kita mengadakan operasi ini," katanya dalam satu kenyataan media hari ini.

Azizah berkata, lelaki itu memberi alasan tidak mempunyai pekerjaan tetap menyebabkan dia melakukan kegiatan itu untuk mendapat wang bagi membeli dadah.

"Suspek juga menyara ibunya berusia 60-an dengan hasil jualan air ketum selain menggunakannya untuk membeli barangan keperluan harian.

"Hasil ujian air kencing juga mendapati semua yang ditahan positif syabu dan ganja," katanya.

Beliau berkata, mereka disiasat mengikut Seksyen 3 (1) dan Seksyen 6 (2) Akta Penagih Dadah," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 24 November 2017 @ 3:46 PM