REMAJA 14 tahun antara yang ditahan dalam Operasi Perdana  AADK dan AKSEM, kelmarin.
REMAJA 14 tahun antara yang ditahan dalam Operasi Perdana AADK dan AKSEM, kelmarin.
Dziyaul Afnan Abdul Rahman

Padang Besar: Seorang remaja lelaki berusia 14 tahun yang sudah tidak bersekolah antara 13 orang ditahan selepas positif dadah dalam Operasi Perdana dijalankan Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) dan Agensi Kawalan Sempadan Malaysia (AKSEM) di negeri ini, kelmarin.

Pengarah AADK Perlis Azizah Ahmad berkata, operasi yang bermula jam 3 petang hingga 12 tengah malam itu fokus pada kawasan ladang dan beberapa sekatan jalan raya di Chuping, Padang Besar, Wang Kelian dan Kuala Perlis.

“Remaja terbabit ditahan dalam serbuan di sebuah ladang ketum di Kampung Guar Musang, Padang Besar pada jam 10 malam.

“Dalam serbuan itu, pihak berkuasa berjaya menahan lima penagih berusia 20 hingga 35 tahun termasuk remaja terbabit yang sedang melakukan proses jual beli air ketum selain melepak dan tidur di satu pondok yang dibina khas oleh mereka.

“Malah ketika pegawai AADK dan AKSEM ke ladang berkenaan, mereka cuba melarikan diri sebelum pihak berkuasa berjaya mengepung kawasan terbabit,” katanya dalam satu kenyataan media,” katanya. semalam.

Menurut Azizah, remaja itu difahamkan sudah berhenti sekolah dan sering ke ladang berkenaan untuk melepak bersama rakan penagih yang lebih berusia.

“Selepas menjalani ujian air kencing, remaja terbabit positif ganja manakala empat lelaki lain positif dadah jenis methamphetamine,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 8 Disember 2017 @ 10:54 AM