GAMBAR hiasan. FOTO Arkid NSTP
GAMBAR hiasan. FOTO Arkid NSTP
HM Digital

Kuala Terengganu: Seorang lelaki seperti dirasuk apabila merosakkan pelbagai barang berharga dan mengugut mahu mencederakan orang awam ketika mengamuk di empat lokasi berasingan di sekitar Kuala Nerus, kelmarin.

Lelaki berusia 30-an yang bersenjatakan pisau menuju ke empat premis berkenaan dan tiba-tiba naik hantu lalu merosakkan pelbagai barang.

Menurut sumber, kejadian pertama dipercayai berlaku jam 11.30 pagi apabila suspek berpura-pura mahu mengisi petrol keretanya di stesen minyak di Batu Enam, Kuala Nerus.

Katanya, lelaki berkenaan memaklumkan mahu mengisi minyak tetapi tiada wang dan berjanji membayar kemudian sebelum mengeluarkan kad pengenalan sebagai cagaran.

“Bagaimanapun, pengurus stesen minyak tidak membenarkan suspek mengisi minyak menyebabkan dia berang sambil mengeluarkan pisau lalu memecahkan cermin kedai premis terbabit.

“Malah, dia turut memecahkan cermin kereta milik pengurus stesen yang berada berhampiran premis selain mengambil wang tunai di kaunter sebelum melarikan diri.

“Lelaki itu sekali lagi mengamuk apabila memecahkan televisyen dan meja dengan pisau di sebuah bank di Dataran Austin Gong Badak, Kuala Nerus jam 2.58 petang.

“Dia tiba-tiba mengamuk tanpa mempedulikan orang ramai sebaik saja masuk ke dalam premis itu,” katanya.

Sumber berkata, amukan lelaki itu tidak berakhir apabila sekali lagi membuat onar di sebuah bank lain di kawasan sama jam 3.15 petang dengan mengugut pekerja dan orang awam di lokasi kejadian.

Menurutnya, melihat keadaan lelaki itu, pekerja dan orang awam mendiamkan diri manakala dia terus merosakkan komputer, telefon dan meja kaunter menggunakan pisau.

“Lelaki berkenaan membuat kacau dengan menjadikan pasar raya di Wakaf Tembesu, Gong Badak sebagai tempat melepaskan amarahnya jam 3.30 petang.

Katanya, dia turut merosakkan pelbagai barangan jualan sebelum melarikan diri.

Bagaimanapun, lelaki itu ditahan tidak lama kemudian selepas menerima laporan awam.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 23 November 2017 @ 8:46 AM