Ahmad Syafi yang melindungi wajahnya daripada dirakam media dibawa ke Mahkamah Majistret, hari ini. FOTO Fathil Asri
Ahmad Syafi yang melindungi wajahnya daripada dirakam media dibawa ke Mahkamah Majistret, hari ini. FOTO Fathil Asri
Siti Nor Hidayatidayu Razali


ANAK lelaki Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Salor Datuk Husam Musa mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret, Kota Bharu, hari ini, terhadap pertuduhan memiliki dadah jenis methamphetamine seberat 20 gram, Sabtu lalu.

Tertuduh, Ahmad Syafi Husam, 29, mohon dibicarakan selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret Kamarul Hasyime Rosli.

Mengikut pertuduhan, tertuduh didakwa memiliki dadah berbahaya jenis methamphetamine seberat 20 gram di tepi sebuah rumah beralamat 409, Jalan Pasir Mas-Salor, Kampung Jelutong, Kota Bharu pada 3.30 petang, 18 November lalu.

Kesalahan itu didakwa mengikut Seksyen 12 (2) Akta Dadah Berbahaya 1952 yang boleh dihukum mengikut Seksyen 39A (1) Akta Dadah Berbahaya 1952 yang membawa hukuman penjara maksimum lima tahun dan tiga hingga sembilan sebatan jika sabit kesalahan.

Timbalan Pendakwa Raya Muhamad Shahirun Azri Mohd Nordin menawarkan jaminan sebanyak RM15,000.

Bagaimanapun tertuduh yang diwakili lima peguam diketuai Firdaus Mohd Yusof memohon mahkamah mengurangkan wang jaminan sebanyak RM8,000.

Katanya, dalam kes itu, anak guamnya yang juga anak sulung daripada tujuh beradik akan memberi kerjasama kepada mahkamah.

Mahkamah kemudian membenarkan jaminan RM10,000 dengan seorang penjamin dan 14 Januari 2018 ditetapkan sebagai tarikh sebutan semula kes untuk meneliti laporan kimia.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 22 November 2017 @ 12:13 PM