FIONA bersama tiga anaknya selamat selepas rumah sewa didiaminya musnah terbakar di Kampung Nosoob Baru, Penampang. FOTO Junaidi Ladjana
FIONA bersama tiga anaknya selamat selepas rumah sewa didiaminya musnah terbakar di Kampung Nosoob Baru, Penampang. FOTO Junaidi Ladjana
Junaidi Ladjana


JERITAN budak lelaki lima tahun menyelamatkan ibu dan dua adiknya daripada menjadi mangsa kebakaran di Kampung Nosoob Baru, Penampang, hari ini.

Fiona Jomidon, 27, berkata ketika kejadian, dia sedang menyiang ikan di dapur dan terdengar jeritan anak sulungnya.

“Dia (anak) menjerit ‘mami...mami’ beberapa kali. Saya pun menuju ke ruang tamu dan terkejut lihat api marak di tingkat atas.

“Saya cuba padam tapi semakin marak. Saya kemudian dukung anak bongsu keluar dari rumah. Dua lagi anak saya dibawa keluar oleh jiran," katanya ketika ditemui di lokasi kejadian.

Fiona menceritakan suasana kebakaran di rumahnya yang turut memusnahkan dua kediaman lain yang merangkumi keseluruhan lebih 20 pintu, pada 4.30 petang.

Dalam kebakaran itu, jeritan anaknya turut menyelamatkan nyawa anak Fiona yang berusia tiga dan setahun.

Fiona berkata, tidak ada apa yang dapat diselamatkan kerana api marak dengan pantas.

“Ketika itu, saya hanya fikirkan keselamatan anak. Suami saya tiada di rumah kerana bekerja sebagai mekanik,” katanya.

Jirannya, Yohonis Konobua, 44, berkata ketika kejadian, dia baru tiba di rumah dan terkejut apabila jirannya memberitahu kebakaran lalu mengarahkan ahli keluarga keluar menyelamatkan diri.

“Saya cuba membantu memadam api di rumah yang terbakar tetapi gagal. Saya kemudian membantu menyelamatkan seorang daripada anak Fiona.

“Semua dokumen penting musnah...hanya beberapa pakaian dan kelengkapan dapur dapat diselamatkan,” katanya.

Ketua Balai bomba dan Penyelamat (BBP) Penampang, Mohd Akramin Sakirun, berkata pihaknya menerima panggilan pada 4.23 petang.

Menurutnya, dua jentera dengan kekuatan sebelas anggota dikejarkan ke lokasi kejadian.

“Tiada kemalangan jiwa dilaporkan dan api berjaya dikawal pada 4.45 petang. Punca kejadian dan jumlah kerugian masih dalam siasatan,” katanya.

Operasi memadam api turut dibantu BBP Kota Kinabalu.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 18 November 2017 @ 7:13 PM