BERSAMA anak pokok cili bara.
BERSAMA anak pokok cili bara.
Rosman Shamsudin

Semangat berdikari yang ditunjukkan penanam pokok cili padi bara, Muhammad Izwan Ismail, 38, ini seakan sama dengan sifat pokok terbabit yang berwarna merah 'menyala' apabila matang dan rasanya amat pedas apabila dimakan.

Muhammad Izwan berkata, kira-kira tujuh tahun dia mengusahakan tanaman pokok cili berkenaan dan sudah tentu dalam tempoh terbabit dia berdepan dengan pelbagai cabaran.

Katanya, pokok cili antara kategori sayur-sayuran yang sukar ditanam dan sukar dijaga kerana ia memerlukan penjagaan rapi terutama ketika berdepan dengan perubahan musim di samping serangga perosak.

"Sebelum anak pokok cili padi bara matang, terlebih dahulu saya menyemai benih cili di dalam bekas khas dan memindahkan anak pokok ke dalam plastik hitam selepas 25 hari.

"Cabarannya adalah ketika menyemai benih dan selepas memindahkan anak pokok ke dalam plastik hitam. Ia memerlukan penjagaan yang rapi dan baja yang mencukupi supaya tumbesaran anak pokok cili terbabit tidak terbantut," katanya ketika ditemui di tapak semaian anak pokok di Kampung Sri Keledang, Slim River, Perak.

Katanya, anak pokok cili yang menjangkau usia kira-kira 30 hari boleh dipindahkan ke dalam pasu atau bekas sesuai bagi isi rumah yang gemar menanam sayur-sayuran bagi menjimatkan belanja dapur.

"Kecenderungan golongan isi rumah yang kini semakin minat menanam sayur-sayuran sebagai pokok hiasan di laman rumah sejak penularan pandemik Covid-19.

"Situasi ini sekali gus memberi idea kepada saya untuk menjual anak pokok berkenaan," katanya.

Bapa kepada tiga cahaya mata itu berkata, berbekalkan sebuah kereta Perodua Viva, setiap hari dia berulang alik dari rumah ke pekan berkenaan untuk menjual anak pokok cilinya.

Menurutnya, setiap anak pokok cili dijual dengan RM4 sahaja dan pembeli anak pokok terbabit boleh terus memindahkannya ke dalam bekas atau pasu yang lebih besar.

"Usaha saya ini mungkin mampu memberi pilihan kepada penggemar masakan pedas untuk menanam cili sendiri kerana selain dapat menjimatkan belanja dapur, mereka juga dapat menikmati sayuran segar yang ditanam sendiri.

"Harga cili berkenaan kadang kala mencecah RM20 sekilogram dan sudah tentu dapat menjimat belanja dapur golongan isi rumah," katanya.

Dia yang turut menyemai anak pokok sayuran lain seperti terung dan tanaman yang digunakan untuk menambah perisa dalam masakan kepada orang ramai.

Malah dia juga gembira dengan apa yang dilakukannya kerana di samping beroleh pendapatan, dia juga dapat menggalakkan golongan isi rumah berkebun dalam menghadapi cabaran kos sara hidup yang tidak tentu.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 18 Februari 2024 @ 6:30 AM