ANGGOTA PPM Sandakan menunjukkan rokok seludup pelbagai jenis yang berjaya dirampas. FOTO Ihsan PPM Sandakan
ANGGOTA PPM Sandakan menunjukkan rokok seludup pelbagai jenis yang berjaya dirampas. FOTO Ihsan PPM Sandakan
Hazsyah Abdul Rahman


PASUKAN Polis Marin (PPM) merampas 4,590 paket rokok seludup bernilai RM45,850 dalam kereta di Jalan Labuk Jaya, Batu 7, dekat Sandakan, semalam.

Dalam kejadian 9.30 malam itu, polis yang bertindak atas maklumat, mengekori Proton Saga Flx yang disyaki membawa rokok seludup sebelum cuba memintas bagi memberhentikan kenderaan berkenaan untuk pemeriksaan.

Bagaimanapun, suspek yang menyedari kehadiran pihak polis bertindak memberhentikan kenderaannya secara mengejut sebelum melarikan diri ke kawasan semak berhampiran jalan berkenaan.

Komander PPM Wilayah Empat Sabah, Asisten Komisioner Mohd Yazib Abd Aziz berkata, hasil pemeriksaan awal mendapati terdapat bungkusan besar yang diletakkan di dalam kenderaan berkenaan.

"Pemeriksaan lanjut polis menemui 12 bungkusan plastik hitam di tempat duduk belakang dan tujuh bungkusan di bonet belakang.

"Setiap bungkusan berkenaan berisi pelbagai jenis rokok disyaki tidak bercukai dan diseludup masuk untuk pasaran tempatan," katanya ketika dihubungi, hari ini.

Mohd Yazib berkata, kenderaan dan rokok yang dirampas dibawa ke Markas PPM Sandakan untuk tindakan lanjut.

Katanya, nilai keseluruhan rampasan dianggarkan berjumlah RM83,850 berdasarkan harga pasaran semasa dan kes disiasat mengikut Akta Kastam 1967.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 11 November 2017 @ 1:33 PM