Air melimpah dari Projek Bersepadu Penapisan Minyak dan Petrokimia (RAPID) Pengerang. FOTO ihsan pembaca
Air melimpah dari Projek Bersepadu Penapisan Minyak dan Petrokimia (RAPID) Pengerang. FOTO ihsan pembaca
Mohd Sabran Md Sani


ENAM keluarga mangsa banjir ditempatkan di dua pusat pemindahan sementara (PPS) di negeri ini sehingga 9 malam ini.

Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan, Alam Sekitar, Pendidikan dan Penerangan Negeri Johor, Datuk Ayub Rahmat berkata, dua keluarga ditempatkan di Balairaya Kampung Lepau, Pengerang, Kota Tinggi.

"Empat keluarga membabitkan 18 mangsa pula ditempatkan di PPS Sekolah Kebangsaan Batu 10, Skudai, sejak semalam," katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata, pemantauan berterusan masih dilakukan pelbagai agensi kerajaan dan pejabat daerah.

Agensi terbabit adalah Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM), Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM), Pejabat Daerah, Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), Polis Diraja Malaysia (PDRM), Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) serta ketua kampung.

Banjir kilat berlaku di kawasan terbabit berikutan hujan lebat pada 3.30 petang semalam dan tengah hari tadi.

Kawasan terjejas di Johor Bahru membabitkan Kampung Pasir, Skudai; Kampung Laut Batu 10, Skudai; Kampung Cahaya Baru, Masai, Kampung Paya dan Kampung Sungai Tiram Batu 20.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 10 November 2017 @ 10:18 PM