Izz Laily Hussein

Johor Bahru: Sebanyak 10 kawasan di daerah ini dilaporkan terjejas akibat banjir kilat berikutan hujan lebat dan berterusan sejak awal pagi tadi.

Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Banjir Negeri Johor dalam satu kenyataan berkata, sehingga jam 12 tengah hari ini, kawasan terjejas antaranya adalah Batu 10, Skudai; Kampung Dato' Sulaiman Menteri; Tabika Kemas, Skudai Kiri dan Kampung Mohd Amin.

"Turut dinaiki air adalah kawasan, Kampung Ubi, Kampung Tiram Duku, Kampung Peladang, Kampung Baru Muafakat, Kampung Pekajang dan Kampung Paya Mengkuang," katanya.

Tinjauan di beberapa kawasan terjejas mendapati banjir kilat menyebabkan beberapa rumah penduduk turut dimasuki air.

Sementara itu, di Batu Pahat, terdapat dua pusat pemindahan sementara (PPS) dibuka membabitkan kawasan yang menghadapi banjir kilat iaitu Kampung Seri Bengkal dan Kampung Bintang Peserai.

"PPS Sekolah Agama Seri Bengkal dibuka seawal jam 8 pagi tadi dan sehingga kini menempatkan 29 mangsa daripada 11 keluarga yang juga penduduk Kampung Seri Bengkal.

"Manakala, PPS Sekolah Kebangsaan Peserai dibuka jam 12 tengah hari ini bagi menempatkan penduduk Kampung Bintang Peserai yang terjejas," katanya.

BANJIR kilat berlaku di beberapa kawasan sekitar Johor Bahru dan Batu Pahat, manakala ribut dilaporkan berlaku di Pontian dan Muar. FOTO Ihsan APM
BANJIR kilat berlaku di beberapa kawasan sekitar Johor Bahru dan Batu Pahat, manakala ribut dilaporkan berlaku di Pontian dan Muar. FOTO Ihsan APM

Pada masa sama, turut dilaporkan berlakunya ribut dia daerah Pontian dan Muar.

Berdasarkan pemantauan dilakukan Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Negeri Johor, Kampung Sungai Naga, Api-Api; Air Baloi dan Parit Haji Omar, Kayu Ara Pasong adalah tiga kawasan di Pontian yang terjejas akibat ribut.

Manakala, katanya, bagi daerah Muar pula, dilaporkan dua kawasan terjejas dengan ribut iaitu di Kampung Parit Jamil dan Sabah Awor.

"Banjir berlaku akibat hujan serta pertembungan air pasang, bagaimanapun beberapa kawasan yang dinaiki air sudah surut.

"Pemantauan ke tempat kejadian akan dilakukan dari semasa ke semasa," jelasnya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 25 September 2022 @ 12:41 PM