Safuri Kamarudin


REMAJA perempuan yang melahirkan bayi lelaki berusia 13 hari selepas dipercayai dirogol dua abang tirinya di Kuala Ketil, Baling, dihantar ke Rumah Kanak-Kanak Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Pulau Pinang, hari ini.

Pegawai JKM Baling, Shamsul Izrin Isahak, berkata, mangsa yang berusia 13 tahun, mendapat Perintah Hak Penjagaan Sementara mengikut Seksyen 25 (2) (A)Akta Kanak Kanak 2001 pindaan 2016 oleh mahkamah untuk dihantar ke Rumah Kanak-Kanak terbabit.

Menurutnya, JKM mengesyorkan kepada mahkamah bagi menghantar ibu dan bayinya ke institusi perlindungan itu kerana lebih selamat.

"JKM juga mengesyorkan perintah tetap penjagaan untuk remaja dan bayi itu kepada mereka yang layak dan lebih sesuai.

"Remaja itu dan bayinya perlu dijaga dengan baik demi masa depan kerana masih di bawah umur," katanya ketika dihubungi hari ini.

Shamsul berkata, remaja itu akan menetap selama 30 hari sehingga 7 Disember ini.

"Kita memberikan perlindungan sewajarnya kepada mereka sementara menunggu laporan lengkap pegawai pelindung bagi membuat perintah tetap kepada keluarga yang layak menjaga mereka," katanya.

Sementara itu, suspek berusia 15 dan 13 tahun itu ditahan 27 Oktober lalu sebelum ini, direman sehingga 2 November sebelum disambung reman sehingga esok.

Harian Metro pada 27 Oktober lalu melaporkan dua adik beradik berusia 15 dan 13 tahun ditahan polis di rumah mereka di kampung di Kuala Ketil, Baling selepas dipercayai merogol adik tiri mereka sehingga melahirkan bayi lelaki.

Mangsa mengadu kepada ibu tirinya, dia sakit perut sebelum dibawa ke Hospital Sultan Abdul Halim (HSAH) Sungai Petani untuk pemeriksaan.

Ketua Polis Daerah Baling, Superintendan Shariffuddin Yusof, berkata, siasatan awal ibu tiri mangsa berusia 45 tahun tidak mengetahui anak tirinya mengandung kerana tidak nampak perubahan dan tidak pernah dimaklumkan apa yang berlaku.

€œMangsa dipercayai dirogol lebih 30 kali oleh abang tirinya sejak pertengahan 2015 sehingga Disember 2016.

“€œMereka melakukan perkara itu ketika ibu bapa tidak ada di rumah," katanya.

Berita berkaitan:

Dua abang tiri durjana ditahan

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 8 November 2017 @ 6:17 PM