Shamsul Izrin menggendong bayi untuk diserahkan kepada keluarga yang mendapat hak penjagaan bayi lelaki berusia 41 hari. FOTO Ihsan JKM Baling
Shamsul Izrin menggendong bayi untuk diserahkan kepada keluarga yang mendapat hak penjagaan bayi lelaki berusia 41 hari. FOTO Ihsan JKM Baling
Safuri Kamarudin


REMAJA perempuan berusia 13 tahun yang melahirkan bayi lelaki berusia 41 hari selepas dipercayai dirogol dua abang tirinya di Kuala Ketil, Baling, ditempatkan di Rumah Kanak-kanak Arau, Perlis selama tiga tahun bermula hari ini manakala anaknya akan dijaga keluarga baru yang layak.

Pegawai Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Daerah Baling Shamsul Izrin Isahak, JKM mendapat perintah daripada Mahkamah Sesyen Baling untuk menempatkan remaja terbabit ke rumah kanak-kanak itu selama tiga tahun mengikut Seksyen 30(1) (D) Akta Kanak Kanak Pindaan 2016.

Menurutnya, remaja terbabit akan meneruskan pembelajaran di sekolah seperti biasa pada tahun depan di Arau, Perlis.

"Dia akan sentiasa diberi sokongan oleh pegawai psikologi di pusat terbabit bagi meneruskan kehidupan masa depan.

"Remaja terbabit menjadi mangsa durjana dua abang tirinya sehingga melahirkan anak lelaki, " katanya ketika dihubungi hari ini.

Shamsul Izrin berkata, anaknya yang sudah berusia 41 hari turut mendapat perintah penjagaan bagi Seksyen 30(1)(B) Akta Kanak-Kanak Pindaan 2016 bagi meletakkan bayi itu dalam jagaan seseorang dan keluarga yang layak.

"Bayi ini akan diberikan kasih sayang yang sempurna oleh keluarga barunya.

"Hanya keluarga yang layak sahaja diberi hak penjagaan supaya masa depan anak itu terjamin," katanya.

Shamsul Izrin berkata, JKM dengan kerjasama Pejabat Pendaftaran Daerah Baling dapat menyelesaikan pendaftaran kelahiran bayi ini untuk masa depannya.

Portal Berita Harian Metro pada 27 Oktober lalu melaporkan dua adik beradik berusia 15 dan 13 tahun ditahan polis di rumah mereka di kampung di Kuala Ketil, Baling selepas dipercayai merogol adik tiri mereka sehingga melahirkan bayi lelaki.

Mangsa mengadu kepada ibu tirinya, dia sakit perut sebelum dibawa ke Hospital Sultan Abdul Halim (HSAH) Sungai Petani untuk pemeriksaan.

Mangsa dipercayai dirogol lebih 30 kali oleh abang tirinya sejak pertengahan 2015 sehingga Disember 2016.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 5 Disember 2017 @ 10:23 PM