BAPA tiri remaja (kiri) ditahan untuk siasatan lanjut.
BAPA tiri remaja (kiri) ditahan untuk siasatan lanjut.
Ekhwan Haque Fazlul Haque


LELAKI disyaki merogol anak tirinya sehingga melahirkan bayi lelaki ditahan di bangunan di Bintulu, semalam.

Suspek yang juga warga Indonesia berusia 46 tahun itu ditahan polis dari Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Bintulu pada 6.15 petang.

Difahamkan, suspek bersembunyi di tingkat tiga premis di Jalan Tanjung Batu itu selepas mengetahui tembelangnya merogol anak tiri sudah dilaporkan kepada polis.

Ketua Polis Daerah Bintulu Superintendan Zulkipli Suhaili berkata, hasil semakan juga mendapati suspek tidak memiliki pas untuk menetap di negara ini.

Menurutnya, dengan tertangkapnya suspek polis yakin kes rogol membabitkan remaja berusia 15 tahun ini selesai.

"Suspek kini ditahan untuk siasatan lanjut mengikut Seksyen 376 Kanun Keseksaan kerana merogol dan Seksyen 6 (1)(c) Akta Imigresen 1959/63 kerana tidak memiliki pas untuk menetap di negara ini," katanya, hari ini.

Harian Metro semalam melaporkan remaja perempuan berusia 15 tahun melahirkan bayi lelaki Jumaat lalu sebelum membuangnya ke dalam tong sampah di rumah di Tanjung Kidurong, Bintulu.

Remaja itu mendakwa dia menjadi mangsa rogol bapa tirinya sejak berusia sembilan tahun namun kejadian tidak diceritakan kepada ahli keluarga yang lain.

Rahsia remaja terbabit terbongkar selepas mengalami pendarahan teruk dan pemeriksaan doktor mendapati dia baru melahirkan anak.

Bayi yang dibuangnya meninggal dunia dan remaja itu kini ditahan untuk siasatan mengikut Seksyen 318 Kanun Keseksaan kerana menyembunyikan kelahiran.

Berita berkaitan:

Buang bayi, disyaki dirogol bapa tiri

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 25 Disember 2017 @ 10:48 AM