Doan  (kiri) dan  Siti Aisyah  diiringi anggota polis selepas menghadiri perbicaraan  di Mahkamah Tinggi, Shah Alam, semalam.
Doan (kiri) dan Siti Aisyah diiringi anggota polis selepas menghadiri perbicaraan di Mahkamah Tinggi, Shah Alam, semalam.
Sarah Zulkifli


Shah Alam: Identiti sebenar empat suspek lelaki yang masih bebas dalam kes pembunuhan lelaki warga Korea Utara, Kim Chol (atau abang pemimpin Korea Utara, Kim Jong-nam) dan pergerakan keempat-empatnya didedahkan sebelum mereka keluar dari negara ini pada hari sama mangsa dibunuh.

Pegawai Penyiasat Kanan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Sepang/Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (klia) Asisten Superintendan Wan Azirul Nizam Che Wan Aziz berkata, mereka adalah Hong Song Hac, 34, atau nama gelaran Mr Chang, Ri Ji Hyon, 33, (Mr Y), Ri Jae Nam, 57 (Hanamori) dan O Jong Gil, 55, (James) yang semuanya warga Korea Utara.

Pada prosiding perbicaraan lalu, saksi kesembilan pendakwaan itu memberitahu mahkamah, empat individu yang masih bebas dalam kes bunuh Kim Chol itu dikenali sebagai Mr Chang, Mr Y, James dan Hanamori yang juga dikenali dengan nama Grandpa atau Uncle dan semua nama itu diperoleh daripada tertuduh warga Indonesia Siti Aisyah , 25, dan warga Vietnam Doan Thi Huong, 28.

Wan Azirul Nizam berkata demikian ketika menjawab soalan Timbalan Pendakwa Raya Muhamad Iskandar Ahmad dalam perbicaraan kes bunuh Kim Chol, masuk hari ke-12 di Mahkamah Tinggi di sini, semalam.

Menurut saksi itu, nama sebenar semua suspek diperoleh melalui maklumat risikan daripada Cawangan Khas Bukit Aman selepas beliau menghantar salinan imej dan gambar lelaki terbabit yang diperoleh melalui rakaman kamera litar tertutup (CCTV) di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur 2 (klia2).

“Berdasarkan maklumat itu, Song Sac memasuki Malaysia pada 31 Januari 2017, Ji Hyon pada 4 Februari, Jae Nam tiba di negara ini pada 1 Februari dan Jong Dil pada 7 Februari.

“Semua suspek keluar dari negara ini pada 13 Februari lalu (iaitu pada hari Kim Chol mati selepas didakwa diserang menggunakan racun agen VX ),” katanya.

Wan Azirul Nizam berkata, selepas memperoleh identiti keempat-empat suspek itu, beliau memohon waran tangkap terhadap mereka dikeluarkan melalui Interpol, bagaimanapun tiada sebarang tangkapan dibuat setakat ini.

“Siasatan juga mendapati Song Sac, Jae Nam dan Ji Hyon keluar dari Malaysia menaiki penerbangan ke Jakarta, Indonesia pada jam 12.30 tengah hari, 13 Februari lalu,” katanya.

Beliau bagaimanapun tidak mengingati pergerakan Jong Gil yang hanya dilihat melepasi polis bantuan di pelepasan antarabangsa jam 3.49 petang kerana tidak membawa buku catatan pada prosiding semalam.

Dalam perkembangan sama, beliau berkata, berdasarkan imej CCTV jam 9.45 pagi pada 13 Februari lalu, menunjukkan Song Sac, Jae Nam dan Ji Hyon bertemu dengan dua individu iaitu menunjukkan wakil Kedutaan Korea Utara dan pegawai syarikat penerbangan Air Koryo untuk urusan pembelian tiket.

“Manakala Jong Gil pula dilihat menemui dua individu sama jam 2.38 petang bagi tujuan sama di klia2.

“Selain itu, rakaman CCTV menunjukkan wakil kedutaan dan pegawai syarikat penerbangan itu pada jam 4.15 petang hari sama menggunakan laluan khas yang hanya dibenarkan kepada petugas khas atau individu yang memiliki pas,” katanya.

Menjawab soalan Muhamad Iskandar bagaimana beliau mengetahui identiti pegawai kedutaan dan pegawai Air Koryo, saksi berkata, beliau mendapat maklumat risikan daripada Cawangan Khas Bukit Aman dan turut menghantar imej kedua-dua pegawai berkenaan kepada unit itu.

“Saya jalankan siasatan dan ambil rakaman percakapan kedua-dua individu itu dan secara keseluruhan, mereka menjelaskan tujuan berada di klia2 untuk membantu setiap individu dan rakyat Korea Utara keluar negara,” katanya.

Perbicaraan di hadapan Hakim Datuk Azmi Ariffin bersambung hari ini.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 7 November 2017 @ 4:46 AM