SEBAHAGIAN daripada tukang urut warga asing yang dicekup.
SEBAHAGIAN daripada tukang urut warga asing yang dicekup.

Shah Alam: Seramai 10 tukang urut ditahan pihak berkuasa selepas dikesan bersembunyi di sebalik pintu besi rahsia di sebuah pusat urut di Taman Desawan, Klang di sini.

Serbuan jam 12.30 tengah malam kelmarin diketuai Ketua Polis Daerah Klang Selatan, Asisten Komisioner Shamsul Amar Ramli turut dibantu pasukan bomba dari Balai Bomba dan Penyelamat Kota Raja.

Beliau berkata, anggota bomba membantu membuka pintu premis berkenaan yang dikunci dari dalam bagi mengelakkan pihak berkuasa memasukinya.

“Ketika serbuan, semua tukang urut itu berada di satu ruang berdekatan laluan tangga yang ditutup dengan beberapa lapisan pintu besi.

“Tukang urut ditahan membabitkan enam warga Indonesia, tiga Vietnam dan seorang Myanmar,” katanya di sini, semalam.

Beliau berkata, seorang pekerja lelaki warga Indonesia dan dua lelaki tempatan yang menjaga kaunter turut ditahan.

“Berdasarkan rekod kami, premis ini sudah dua kali diserbu dan serbuan ini adalah kali ketiga dalam tempoh tiga bulan,” katanya.

Sementara itu, dalam satu lagi serbuan di sebuah pusat hiburan, Shamsul Amar berkata, pihaknya menahan 17 wanita warga asing disyaki pelayan pelanggan (GRO) membabitkan warga Vietnam dan Indonesia.

“Selain itu, kita turut menahan tiga lelaki tempatan yang dipercayai penjaga premis. Premis ini juga pernah diserbu tiga kali sebelum ini,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 6 November 2017 @ 11:07 AM