JAMAL (empat dari kiri) menerima sumbangan  di rumah adik iparnya di Kampung Sungai Relong, Kamunting. FOTO MUHAMMAD ZULSYAMINI SUFIAN SURI
JAMAL (empat dari kiri) menerima sumbangan di rumah adik iparnya di Kampung Sungai Relong, Kamunting. FOTO MUHAMMAD ZULSYAMINI SUFIAN SURI
Muhammad Zulsyamini Sufian Suri


MANGSA yang terselamat dalam kebakaran di Kampung Sungai Relong, Kamunting, Taiping, pada Selasa lalu gagal menyelamatkan kakak dan dua anak saudaranya selepas terhalang dengan timbunan pakaian dan tali kelambu dalam bilik di rumah berkenaan.

Dalam kejadian pada 1 pagi, mangsa Jazmanniza Man, 35, bersama dua anaknya Muhammad Anaz Rizqi, 4, serta Nur Aulia Medina Mohd Khairul, 3, ditemukan rentung di atas katil dalam bilik.

Adik mangsa Jamal Alzuan, 33, yang melecur di belakang badan berkata, dia terkejut apabila melihat api marak di bilik tidur kakak bersama suami dan tiga anak mereka selepas keluar dari bilik air di tingkat bawah.

Menurutnya, dia meluru masuk ke bilik itu bagi mengejutkan kakak serta abang ipar, Mohd Khairul Ismail, 38, menyebabkan mereka terus keluar bersama anak sulung Muhammad Afip Aryan, 6.

“Saya cuba menyelamatkan dua anak saudara lain, tetapi gagal kerana keadaan bilik itu dipenuhi kain baju serta tali kelambu yang dipasang mengelilingi tempat tidur mereka.

“Arwah kakak kemudian bertindak memasuki bilik tidurnya, tetapi tidak keluar semula selepas agak lama.

“Saya kembali memasuki bilik kerana tidak sedap hati dan melihat dia pengsan di pangkuan kedua-dua anaknya menyebabkan saya tidak dapat berbuat apa-apa lalu bergegas menyelamatkan diri,” katanya.

Jamal Alzuan berkata demikian ketika ditemui selepas menerima sumbangan Pasaraya Econsave Cash & Carry Sdn Bhd (Econsave) Kamunting di rumah adiknya, hari ini.

Sumbangan diserahkan Pengurus Besar Econsave Wilayah Utara 2, Chua Yong Chiang.

Menurutnya, mereka sudah mendiami rumah itu dengan diterangi cahaya lilin sejak empat bulan lalu berikutan bekalan elektrik dipotong akibat bil tertunggak.

Katanya, sebelum ini penyewa rumah didakwa gagal melunaskan bayaran bil elektrik dan mereka yang kembali menduduki kediaman pusaka itu tiada kemampuan untuk memasukkan semula elektrik.

“Saya hanya bekerja sebagai pembantu kedai, manakala abang ipar bersama arwah kakak mencari pucuk paku untuk menyara kehidupan.

“Akibat itu, kami tidak mampu menjelaskan tunggakan bayaran bil elektrik selain caj pemasangan meter elektrik yang mencecah ratusan ringgit,” katanya.

Portal berita Harian Metro sebelum ini melaporkan seorang ibu bersama dua anaknya ditemukan rentung dalam kebakaran rumah terbabit.

Dalam kejadian itu, suami mangsa parah akibat melecur di belakang badan serta tangannya selain anak sulung cedera ringan pada tangan.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 28 Mac 2020 @ 8:39 PM