PENGARAH JBPM Perak, Azmi Osman (dua kanan) meninjau lokasi kebakaran. FOTO Muhammad Zulsyamini Sufian Suri
PENGARAH JBPM Perak, Azmi Osman (dua kanan) meninjau lokasi kebakaran. FOTO Muhammad Zulsyamini Sufian Suri
BERNAMA

WANITA yang ditemukan rentung dalam kebakaran di rumah di Kampung Sungai Relong, Kamunting di Taiping, hari ini hamil lima bulan.

Dalam kebakaran kira-kira 1 pagi, wanita berkenaan, Jazmaniza Man, 35, maut bersama dua anaknya Mohd Anaz Rizki Mohd Khairul, 4, serta Nur Aulia Medina, 3 tahun.

Adik lelaki mangsa, Ahmad Shahfizal, 27, berkata, kakak sulungnya itu sedang hamil anak keempat dan dijangka bersalin pada Julai nanti.

Ahmad Shahfizal berkata, kali terakhir dia berjumpa kakaknya adalah pada 8 malam semalam di rumah mangsa semasa menghantar burger daging yang diminta oleh arwah.

“Arwah sudah lama tak datang ke rumah saya, tetapi sejak tiga hari lepas setiap hari dia singgah sekadar untuk bersembang,” katanya ketika ditemui di lokasi kejadian di Taiping, hari ini.

Dalam kebakaran itu, suami Jazmaniza, Mohd Khairul Ismail, 38, dan seorang lagi anak pasangan itu Muhamad Afiq Aryan, 6, cedera pada badan, manakala adik lelaki Jazmaniza, Jamal Azwan, 33, turut cedera.

Ahmad Shahfizal berkata, dia mengetahui kejadian yang menimpa keluarga kakaknya itu ketika sedang bersiap untuk tidur.

“Semasa saya sampai tidak dapat berbuat apa-apa kerana api telah membakar keseluruhan rumah pusaka itu,” katanya reda dengan takdir yang mengorbankan kakak sulung dan dua anak saudaranya itu.

Sementara itu, seorang jiran mangsa, Mohamad Khairul Azhar Abu Bakar, 21, berkata, ketika kejadian dia dalam perjalanan pulang ke rumahnya dan terkejut apabila melihat kepulan asap tebal dan api menjulang tinggi dari rumah mangsa. “Saya lihat suami kak long (Jazmaniza) terduduk di tepi jalan sambil menangis. Dia menjerit minta tolong untuk selamatkan isteri dan dua anak mereka. Api terlalu marak dan penduduk kampung tidak mampu buat apa-apa,” katanya.

Berita berkaitan:

  • 'Ayah suruh terjun dari tingkap'
  • Tiga beranak rentung [METROTV]
  • Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 24 Mac 2020 @ 4:25 PM