Keadaan motosikal mangsa yang terperosok dibawah kereta dalam kemalangan di Kampung Pomotodon, Tambunan. FOTO Razik Zayad
Keadaan motosikal mangsa yang terperosok dibawah kereta dalam kemalangan di Kampung Pomotodon, Tambunan. FOTO Razik Zayad
Razik Zayad


PELAYAN restoran maut apabila motosikal ditunggangnya bertembung dengan sebuah kereta dalam kejadian di Jalan Tambunan, berhampiran Kampung Pomotodon, Tambunan, pagi hari ini.

Dalam kejadian jam 5.30 pagi, mangsa Benetto Jeffrey, 21, meninggal dunia di lokasi kemalangan akibat parah di bahagian kepala dan badan.

Ketua Polis Daerah Keningau Deputi Superintendan Ahmad Jawila berkata, mangsa yang menunggang motosikal jenis Modenas dikatakan dalam perjalanan pulang ke rumahnya di Kampung Pomotodon dari arah pekan Tambunan, dekat sini, sebelum bertembung dengan sebuah kereta Proton Wira.

"Akibat rempuhan itu menyebabkan mangsa bersama motosikalnya terperosok di bawah kereta dan meninggal dunia di tempat kejadian.

"Mayat mangsa sudah dibawa ke Hospital Tambunan untuk bedah siasat," katanya, ketika dihubungi, di sini, hari ini.

Beliau berkata, polis masih melakukan siasatan berhubung kemalangan itu dan meminta orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat untuk tampil membantu siasatan.

Kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 29 Oktober 2017 @ 8:33 PM