Junaidi Ladjana dan Mohd Ruzaini Zulkepli


MAYAT empat beranak yang terbabit dalam kemalangan ngeri di Jalan Keningau-Tambunan, berhampiran Ulu Daar, Keningau, akan dibawa ke Hospital Queen Elizabeth I (HQE I) Kota Kinabalu hari ini untuk proses bedah siasat.

Ketua Polis Daerah Keningau Deputi Superintendan Ahmad Jawila berkata, selepas selesai beberapa prosedur di Hospital Tambunan, mayat empat beranak itu akan dibawa ke HQE Kota Kinabalu selewat-lewatnya pada hari ini untuk menjalani proses bedah siasat.

"Setakat ini, salah seorang mangsa terselamat iaitu isteri kepada mangsa yang maut masih menjalani rawatan di HQE Kota Kinabalu selepas parah di bahagian kepala dan badan dalam kemalangan itu," katanya, ketika dihubungi, di Kota Kinabalu, hari ini.

Mangsa yang terkorban iaitu Saimon Sadi, 29 dan tiga anaknya Selderine Simon, 6, Selvediana Simon, 4, dan yang bongsu Sheronaldo Simon, 2.

Suzana Damianus, 29, yang parah dihantar ke Hospital Tambunan sebelum dipindahkan ke HQE I untuk rawatan lanjut dan tiba kira-kira jam 2 pagi semalam

Terdahulu, dalam kejadian jam 6.45 petang itu, motosikal jenis Honda EX5 yang dipercayai dinaiki lima sekeluarga berkenaan terbabas sendiri sebelum merempuh bahagian belakang sebuah lori kargo yang rosak di tepi jalan di lokasi berkenaan.

Impak kemalangan itu menyebabkan empat daripada lima mangsa meninggal dunia di tempat kejadian manakala isteri mangsa yang berusia 29 tahun parah.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 13 Jun 2017 @ 5:38 PM