Pemandu treler dibawa ke Mahkamah Khas Reman Seremban oleh polis untuk mendapat perintah tahanan reman bagi siasatan kes kemalangan dua maut dan tiga cedera di KM270.3 dekat R&R Seremban, Jumaat lalu. - Foto HAZREEN MOHAMAD
Pemandu treler dibawa ke Mahkamah Khas Reman Seremban oleh polis untuk mendapat perintah tahanan reman bagi siasatan kes kemalangan dua maut dan tiga cedera di KM270.3 dekat R&R Seremban, Jumaat lalu. - Foto HAZREEN MOHAMAD
Raja Noraina Raja Rahim


MAHKAMAH Khas Reman Seremban hari ini, membenarkan pemandu treler direman tiga hari bagi membantu siasatan kes kemalangan menyebabkan dua maut dan tiga cedera di KM270.3 lebuh raya PLUS arah selatan, dekat R&R Seremban, Jumaat lalu.

Suspek berusia 59 tahun itu direman sehingga Selasa ini, bagi membolehkan siasatan mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Perintah itu dikeluarkan Penolong Kanan Pendaftar Emysuriana Muhammad Subry selepas permohonan dibuat Pegawai Penyiasat Inspektor Mohd Syafiq Azmy.

Sebelum itu, suspek yang memakai kemeja T biru, tiba di mahkamah diiringi anggota polis pada 10 pagi dan dibawa keluar dua jam kemudian.

Semalam, suspek yang mengaku sebagai pemandu treler ditahan polis ketika tampil di Balai Polis Nilai, 4.30 petang.

Dalam kejadian kira-kira 5 petang itu, Lau Lian Huat, 62, dan isteri Lim Ah Gim, 60, maut selepas Perodua Alza dinaiki dirempuh treler yang hilang kawalan memasuki laluan mereka.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 29 Oktober 2017 @ 3:25 PM