Mohd Helmi Irwadi Mohd Nor


PENOLONG Pegawai Antidadah Kebangsaan (AADK) Sepang direman tiga hari di Mahkamah Khas Reman Seremban, hari ini.

Ini bagi membantu siasatan berhubung dua kes salah guna kuasa bagi kerja perkhidmatan program pemulihan dadah, April tahun lalu dan Mac tahun ini.

Perintah reman dibenarkan Majistret Rahimah Rahim sehingga Khamis ini, mengikut Seksyen 117 Kanun Acara Jenayah.

Permohonan reman dikemukakan Pegawai Pendakwa Raya SPRM, Mohd Khairi Abdul Karim terhadap Ashlida Che Mat Razali, 34 yang diwakili peguam, Badrul Munir Mohd Bukhari.

Wanita terbabit hadir ke pejabat SPRM Negeri Sembilan bagi memberi keterangan sebelum ditahan antara 3.22 dan 3.32 petang, semalam.

Jurucakap SPRM berkata, suspek yang juga Ketua Unit Pencegahan AADK Sepang mempengaruhi Ketua Daerah bagi melantik syarikat milik abangnya bagi melaksanakan Program Sayangi Hidup Derita Selamanya.

Katanya, program itu membabitkan urusniaga berjumlah RM5,160 dan dilakukan pada April tahun lalu.

"Pada Mac lalu, suspek sekali lagi mempengaruhi Ketua Daerah dan melantik syarikat adiknya bagi melaksanakan Program Keluarga Bebas Dadah 'Family On Alert'-Pencegahan Bermula Dari Rumah.

"Urusniaga program berjumlah RM1,000. Kes disiasat mengikut Seksyen 23 Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (ASPRM) 2009," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 17 Oktober 2017 @ 1:01 PM