NAJIB  bersama Sheikh Tamim   menyaksikan pertukaran dokumen MoU antara  Anifah  dan Menteri Luar Qatar, Sheikh Mohammed Abdulrahman Al-Thani sempena lawatan rasmi Emir Qatar  ke Malaysia di Kompleks Seri Perdana, semalam.
NAJIB bersama Sheikh Tamim menyaksikan pertukaran dokumen MoU antara Anifah dan Menteri Luar Qatar, Sheikh Mohammed Abdulrahman Al-Thani sempena lawatan rasmi Emir Qatar ke Malaysia di Kompleks Seri Perdana, semalam.
Hayati Ibrahim dan Mohd Husni Mohd Noor


Putrajaya: Hubungan istimewa dengan kerajaan Arab Saudi tidak akan menghalang Malaysia untuk terus menjalin hubungan terutama dalam bidang ekonomi dengan Qatar.

Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak berkata, lawatan Raja Arab Saudi, Raja Salman dan Putera Mahkota Arab Saudi Putera Mohammed Salman serta pemimpin lain ke Malaysia sebelum ini membuahkan hasil yang membanggakan dan hubungan itu akan diteruskan pada tahap terbaik.

“Namun ini tidak menghalang kita (terus) mengadakan hubungan terutama hubungan ekonomi dengan Qatar kerana ia sudah lama terjalin iaitu selama 43 tahun.

“Sebagai sebuah negara, kita berdiri atas prinsip kerjasama dengan semua negara dan kerjasama dalam konteks hubungan dunia Islam kita mengamalkan prinsip wasatiyyah.

“Kita juga mahu pertikaian antara negara Islam dicari penyelesaian yang sebaiknya tanpa kita campur tangan urusan mana-mana negara, jadi saya kira kerajaan Arab Saudi memahami pendirian Malaysia dan lawatan ini (Emir Qatar) tidak timbul apa-apa masalah,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas mengadakan mesyuarat terhad dan delegasi secara tertutup serta menyaksikan majlis menandatangani perjanjian memorandum persefahaman (MoU) sempena lawatan negara Emir Qatar Sheikh Tamim Hamad Al Thani di Kompleks Seri Perdana, semalam.

Turut hadir ialah Menteri Luar Datuk Seri Anifah Aman dan Menteri Pertahanan Datuk Seri Hishammuddin Hussein.

Beliau berkata demikian ketika ditanya sama ada konflik di negara Teluk dibincang dalam mesyuarat dengan Sheikh Tamim, dan apakah pendirian Malaysia dalam konflik berkenaan.

Ditanya sama ada Qatar membuat sebarang permohonan supaya Malaysia menjadi orang tengah untuk menyelesaikan konflik berkenaan, Najib berkata, perkara itu di luar kapasiti Malaysia sama ada untuk menjadi perantara atau menawarkan diri sebagai perantara.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 17 Oktober 2017 @ 6:12 AM