BERNAMA

Kuala Lumpur: Beberapa pemimpin Islam dan dunia Arab menghantar perutusan tahniah masing-masing atas kemenangan Recep Tayyip Erdogan mengatasi pencabarnya Kemal Kilicdaroglu dalam pusingan kedua pilihan raya presiden Turkiye pada Ahad.

Emir Qatar Sheikh Tamim bin Hamad Al Thani dalam panggilan telefon kepada Erdogan mengucapkan tahniah atas kemenangan beliau dan mendoakan Turkiye di bawah kepimpinan Erdogan semakin pesat membangun.

Erdogan turut merakamkan ucapan penghargaan beliau dan berharap agar kerjasama dua hala yang terjalin antara kedua-dua negara dapat diperkukuh dalam mencapai kemaslahatan bersama demi kesejahteraan serantau, menurut Agensi Berita Qatar (QNA).

Di Arab Saudi, Penjaga Dua Kota Suci Raja Salman bin Abdulaziz Al Saud dalam perutusan tahniah baginda berkata: "Tahniah kerana mendapat mandat sekali lagi daripada rakyat sebagai Presiden Turkiye bagi penggal kedua."

Putera Mahkota Arab Saudi Mohammed bin Salman Abdulaziz Al Saud turut mendoakan Erdogan dan Turkiye, "Semoga hubungan baik yang terjalin antara kedua-dua negara sejak sekian lama akan terus utuh," menurut laporan Agensi Berita Saudi (SPA).

Presiden Palestin Mahmoud Abbas yang dipetik WAFA, agensi berita rasmi negara itu turut menyampaikan ucapan tahniah beliau kepada Erdogan dan menyatakan penghargaan kepada sokongan kerajaan Turkiye kepada perjuangan rakyat Palestin selama ini.

Raja Bahrain Raja Hamad Isa Al Khalifa pula bertitah: "Tahniah kerana mendapat mandat sekali lagi daripada rakyat sebagai Presiden Turkiye bagi penggal kedua.

"Semoga hubungan baik yang terjalin antara kedua-dua negara sejak sekian lama akan terus utuh," titah baginda dalam perutusan tahniah sempena kemenangan Erdogan, lapor Agensi Berita Bahrain (BNA).

Selain itu, Setiausaha Agung Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC) Hissein Brahim Taha di akaun Twitter rasminya hari ini, pada Isnin, turut mengutuskan ucapan tahniah atas kejayaan Erdogan mempertahankan jawatan presiden Turkiye, di samping mendoakan kemajuan republik berkenaan.

Turut tidak ketinggalan menyampaikan ucapan tahniah, termasuk Raja Jordan Raja Abdullah II, Sultan Oman Sultan Haitham bin Tariq Al Said dan Emir Kuwait Sheikh Nawaf Al Ahmad Al Jaber Al Sabah.

Erdogan (tengah) bersama rakan parti meraikan kejayaan mereka bersama penyokong di Istana Presiden, Ankara, Turkiye. FOTO AFP
Erdogan (tengah) bersama rakan parti meraikan kejayaan mereka bersama penyokong di Istana Presiden, Ankara, Turkiye. FOTO AFP

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 29 Mei 2023 @ 3:42 PM