PELAJAR tahfiz yang terselamat daripada kejadian kebakaran di Pusat Tahfiz Nur Al-Quran, Jalan Pengkalan Rantau Panjang, Klang.
PELAJAR tahfiz yang terselamat daripada kejadian kebakaran di Pusat Tahfiz Nur Al-Quran, Jalan Pengkalan Rantau Panjang, Klang.
HM Digital

Klang: Pelajar Pusat Pengajian dan Tahfiz Nur Al-Quran, Rantau Panjang di sini, yang terbakar kelmarin, diberikan cuti selama sebulan bermula semalam.

Timbalan Mudir yang juga anak pemilik pusat tahfiz itu, Fawaz Abdul Hamid berkata, pusat itu tidak dapat digunakan kerana siasatan menyeluruh masih dijalankan oleh Unit Forensik Bomba Selangor.

“Bangunan tahfiz dua tingkat itu tidak boleh digunakan sehingga sistem pendawaian elektrik diperbaiki berikutan punca kebakaran dipercayai akibat litar pintas.

“Arus elektrik di seluruh bangunan kini turut terpaksa diputuskan selain perlu membersihkan empat bilik yang terbakar dan ditakungi air,” katanya.

Menurutnya, sebahagian besar pelajar sudah dibawa pulang oleh keluarga masing-masing.

“Buat sementara waktu, pelajar yang tidak diambil keluarga ditempatkan di sebuah tadika berdekatan manakala seramai 10 ahli keluarga saya tinggal di sebuah rumah inap desa.

“Rumah keluarga saya yang terletak bersebelahan pusat tahfiz juga tidak dapat diduduki kerana mempunyai sambungan elektrik dari bangunan yang terbakar. Ia tidak selamat untuk diduduki,” katanya.

Kata Fawaz, semua pelajar itu turut dibawa Pemuda UMNO Kapar membeli barangan asas mereka di sebuah pasar raya berhampiran.

Harian Metro melaporkan 23 pelajar dan dua pengajar menempuh detik cemas apabila asrama penginapan mereka di tingkat dua pusat tahfiz itu musnah dalam kebakaran.

Dalam kejadian kira-kira jam 2.30 petang itu, semua pelajar berusia 10 hingga 19 tahun berada dalam kelas di tingkat bawah dan sempat keluar menyelamatkan diri dari pusat berkenaan.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 11 Oktober 2017 @ 6:05 AM