DR Raja menjadi saksi kelapan perbicaraan.
DR Raja menjadi saksi kelapan perbicaraan.
Sarah Zulkifli


Shah Alam: Insiden kematian warga Korea Utara Kim Chol yang disebabkan agen saraf VX adalah insiden kedua di dunia dan pertama di negara ini.

Perkara itu dimaklumkan Ketua Makmal Pusat Analisis Senjata Kimia, Jabatan Kimia Malaysia, Dr S Raja ketika memberi keterangan di hadapan Hakim Datuk Azmi Ariffin di Mahkamah Tinggi Shah Alam, pada perbicaraan kes bunuh Kim Chol yang didakwa sebagai Kim Jong-nam, abang kepada pemimpin Korea Utara yang masuk hari keenam.

Dr Raja yang juga saksi kelapan pendakwaan berkata, insiden pertama dilaporkan berlaku pada 1994 di Osaka, Jepun.

“Bahan kimia agen saraf VX dilaporkan disembur pada leher mangsa,” katanya merujuk kepada tayangan slaid pada pemeriksaan utama Timbalan Pendakwa Raya, Wan Shaharuddin Wan Ladin.

Beliau memberi keterangan terhadap warganegara Indonesia, Siti Aisyah, 25, dan Vietnam, Doan Thi Huong, 28, yang didakwa membunuh Jong-nam.

Dalam perkembangan sama, Dr Raja memberitahu mahkamah, kesan agen saraf VX banyak ditemui pada kolar dan kedua-dua lengan jaket milik Kim Chol.

Dr Raja berkata, berdasarkan penemuan itu, beliau berpendapat Kim Chol cuma mengelap bahan kimia yang mengenai muka dan matanya.

Katanya, beliau membuat kesimpulan berdasarkan kepada sampel calitan pada kulit mangsa, ada kesan agen saraf VX sebanyak 0.2 miligram per kilogram (m/kg) daripada berat badan mangsa.

Ditanya berapa dos pendedahan pada kulit yang boleh membunuh (lethal dosage), Dr Raja berkata, berdasarkan kepada rekod terdahulu (kes di Osaka) ia pada paras 0.142 mg/kg.

Bagaimanapun, ditanya Wan Shaharuddin adakah ia cukup untuk membunuh, Dr Raja berkata, beliau tidak boleh memberi jawapan khusus namun berdasarkan kepada anggaran kepekatan sampel berkenaan, ia 1.4 kali lebih tinggi daripada dos yang boleh membunuh.

“Dalam kajian terhadap haiwan, didapati ia boleh mati jika terdedah pada dos sebanyak 0.142mg/kg,” katanya.

Sementara itu, ketika pemeriksaan balas oleh peguam Gooi Soon Seng, Dr Raja berkata, jaket milik Kim Chol dimasukkan ke dalam beg kertas sebelum diserahkan semula kepada seorang pegawai polis, Asisten Superintendan Mohd Zaini Che Din pada 30 Mac lalu.

Katanya, beliau diberitahu bahawa ada sampel terpilih dihantar pulang ke Korea Utara.

“Selain itu, beg, kasut, seluar jeans, gelang tangan, dompet, rantai leher, cincin dan jam tangan milik mangsa juga dipulangkan,” katanya.

Dr Raja turut memaklumkan kepada mahkamah bahawa pihaknya mempunyai dua mesin pengesan racun agen saraf VX dan ia adalah mudah alih, iaitu FT Ramen dan HAZMAT ID.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 11 Oktober 2017 @ 5:54 AM