MUHD Azhar Abd Halim (dua dari kiri) dan Muhammad Azim Iqmal Zamani (kanan) bersama rakan sekelasnya selepas mengambil keputusan Pentaksiran Tingkatan 3 (PT3). FOTO Mazizul Dani
MUHD Azhar Abd Halim (dua dari kiri) dan Muhammad Azim Iqmal Zamani (kanan) bersama rakan sekelasnya selepas mengambil keputusan Pentaksiran Tingkatan 3 (PT3). FOTO Mazizul Dani
Oleh Mazizul Dani


Kuala Lumpur: "Anak saya boleh menjawab dengan baik walaupun tidak mencapai kejayaan cemerlang."

Itulah komen bapa kepada calon ujian Pentaksiran Tingkatan 3 (PT3), Eng Mun Keat, 46, selepas menerima keputusan PT3 anaknya, Eng Kok Hoem, 15.

Dia berkata anaknya mampu menjawab dengan baik dalam peperiksaan, namun mempunyai kesukaran dalam kertas Matematik.

"Kertas Matematik katanya yang paling sukar tetapi saya tetap berharap dia boleh buat yang lebih baik selepas ini," katanya ketika ditemui di Sekolah Menengah Kebangsaan Sentul Utama, di sini, pagi tadi.

Mereka berpandangan bahawa ujian ini menguji kefahaman pelajar secara mendalam walaupun ia diakui memerlukan masa untuk dikuasai pelajar.

Sementara Wong Sow Goh, 46, pula berkata, PT3 mempunyai banyak perbezaan berbanding Penilaian Menengah Rendah (PMR) dan jauh lebih sukar.

"Anak saya, Chan Jun Ming, 15, berkata ujian ini sukar, namun dia telah cuba yang terbaik dan boleh menerima bentuk soalannya," katanya.

Seorang pelajar, Muhammad Azim Iqmal Zamani, 15, berpuashati dengan keputusan yang dicapainya setelah memahami format ujian ini.

"Saya cuma target 2A saja, tapi saya dapat 4A, jadi saya berpuashati walaupun tak macam kawan-kawan lain yang dapat 7A," katanya yang mengambil keputusannya di sekolah yang sama.

Rakan sekelasnya, Muhd Azhar Abd Halim, 15, juga gembira dengan keputusan yang diperolehnya.

"Saya ingat tak ada A langsung, tapi Alhamdulillah saya dapat lebih baik daripada yang saya sangka," katanya.

Mereka antara 465,674 calon yang menduduki peperiksaan itu di 2,667 pusat di seluruh negara pertengahan Oktober lepas.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 14 Disember 2015 @ 12:46 PM