Honda EX5 ditunggang mangsa remuk akibat pertembungan. FOTO Ihsan orang ramai.
Honda EX5 ditunggang mangsa remuk akibat pertembungan. FOTO Ihsan orang ramai.
Nurul Fatihah Sulaini


REMAJA lelaki meninggal dunia selepas Honda EX5 ditunggangnya bertembung dengan Proton Wira di Kilometer 78, Jalan Kuala Terengganu-Kampung Raja berhampiran Kampung Pengkalan Gelap, Permaisuri, 7.35 malam, hari ini.

Izzat Aidil Ariffin, 19, berasal dari Kampung Rahmat disahkan meninggal dunia ketika dirawat di Hospital Setiu akibat parah di kepala.

Ketua Polis Daerah Setiu Deputi Superintendan Zulkifli Mat Deris berkata, siasatan awal mendapati, mangsa yang datang dari arah Kampung Raja dipercayai cuba memotong sebuah kenderaan di depannya.

“Ketika cuba memotong, mangsa bertembung dengan Proton Wira yang datang dari arah Kuala Terengganu.

“Mangsa dibawa ke hospital namun disahkan meninggal dunia ketika dirawat. Pemandu Proton Wira yang dinaiki enam sekeluarga termasuk seorang kanak-kanak berusia enam tahun selamat,” katanya ketika dihubungi.

Kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 7 Oktober 2017 @ 12:31 PM