Zatul Iffah Zolkiply


WANITA yang hamil lima bulan antara empat mangsa kemalangan maut membabitkan dua kenderaan di Kilometer 31, Jalan Kuala Terengganu-Setiu berhampiran Kampung Pakoh Jaya, Kuala Nerus, pagi ini.

Dalam kemalangan jam 9.20 pagi itu, Siti Nur Shahila Asla, 26, dan suami, Hafiiz Mohd Ibrahim, 29, yang menaiki Proton Wira Aeroback meninggal dunia di tempat kejadian akibat parah pada badan.

Dua lagi yang terkorban, pemandu Peugeot, Anuar Said, 59, dan isterinya, Che Khasliza Che Hussin, 53, sementara anak mereka, Nurul Nadirah, 13, cedera di muka dan kaki dirawat di Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ).

Difahamkan, ketika kejadian, Siti Nur Shahila dan Hafiiz dalam perjalanan dari Kelantan menuju ke Kuala Nerus selepas balik ke kampung di Felda Chiku 5, Gua Musang, manakala Anuar dan keluarganya pula dalam perjalanan dari Dungun ke Besut menziarahi sepupu yang meninggal dunia malam tadi.

Bagaimanapun, sebaik tiba di tempat kejadian, kereta dipandu Anuar dikatakan bertembung dengan Proton Wira Aeroback dipandu Hafiiz dari arah bertentangan.

Sementara itu, Ketua Jabatan Siasatan Jenayah dan Penguatkuasaan Trafik Negeri, Superintendan Abd Razak Hassan berkata, pertembungan itu menyebabkan semua mangsa meninggal dunia di tempat kejadian.

Beliau berkata, mayat empat mangsa dibawa ke Jabatan Perubatan Forensik HSNZ untuk bedah siasat manakala mangsa yang cedera turut menerima rawatan di hospital sama.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 kerana menyebabkan kematian dengan memandu secara melulu dan membahayakan,” katanya.

Berita berkaitan

4 maut, 1 cedera

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 25 Mei 2019 @ 3:30 PM